Malaysia Bersedia Jadi Hab Serantau Inovasi Biojisim – Johari

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Malaysia bersedia untuk menjadi hab serantau dalam inovasi biojisim dalam keadaan permintaan global yang semakin meningkat, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Johari yang juga Naib Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah menyaksikan dua inisiatif strategik yang memperkukuh peranan Malaysia dalam tenaga boleh baharu dan ekonomi kitaran menyeluruh pada Khamis.

“Saya berpeluang menyaksikan sendiri dua inisiatif strategik yang memperkukuh peranan Malaysia dalam tenaga boleh baharu dan ekonomi kitaran menyeluruh. Pertama, perasmian Stesen Suntikan Biometana Berpusat di Kluang oleh Gas Malaysia.

“Kedua, lawatan ke kilang BE Green Biomass yang menukar bahan buangan seperti kayu terpakai dan tandan kosong kelapa sawit (EFB) menjadi palet eksport serta bahan bakar biojisim.

“Gas Malaysia melalui anak syarikatnya, Gas Malaysia Green Ventures, membangunkan fasiliti ini sebagai yang pertama seumpamanya di negara ini, membolehkan biometana berkualiti disuntik terus ke dalam rangkaian gas asli negara,” katanya.

Menurutnya, inisiatif tersebut membuka peluang kepada pengeluar tenaga bersih untuk memasarkan tenaga secara komersial.

“Inisiatif ini membuka peluang kepada pengeluar tenaga bersih khususnya kilang sawit untuk memasarkan tenaga mereka secara komersial. Gas Malaysia juga aktif membangunkan ekosistem biometana melalui kerjasama industri dan penganjuran seminar di seluruh negara.

“BE Green Biomass pula menghasilkan bahan bakar biojisim dalam bentuk pelet menggunakan tandan buah kosong (EFB) dan batang sawit (POT). Ini merupakan pendekatan teknologi hijau yang menukar sisa ladang kepada tenaga mampan dan produk bernilai eksport,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa kedua-dua inisiatif tersebut membuktikan teknologi hijau mampu mengangkat sisa pertanian menjadi sumber tenaga bersih yang bernilai komersial.

“Inilah pendekatan ekonomi kitaran menyeluruh… menjadikan sisa sebagai ‘feedstock’ untuk tenaga bersih dan pasaran antarabangsa.

“Malaysia bersedia menjadi hab serantau dalam inovasi biojisim, disokong dasar kerajaan, sumber yang melimpah, dan permintaan global yang semakin meningkat,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79