Kerjasama Politik Penting, Mewakili Kepelbagaian Rakyat – Dr Zambry
KUALA LUMPUR, 23 Mei – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan kerjasama dalam kalangan parti-parti politik sebagai penting dalam pembentukan kerajaan.
Beliau yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata ini kerana parti-parti politik sebagai mewakili kepelbagaian yang ada di negara ini.
“Untuk masa hadapan suka atau tidak dengan mengambil kira apa yang berlaku di Singapura, Kanada, Australia iaitu sesuatu perkara itu boleh berubah tetapi dalam konteks yang sama politik untuk kerjasama itu tidak boleh kita pisahkan dalam konteks negara kita.
“Kerana kita ada kepelbagaian dalam aspek etnik, agama, sama ada Semenanjung juga Sabah dan Sarawak, itulah realiti yang ada di hadapan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Forum BN: ‘Apa Yang Kita Boleh Belajar Dari PRU Kanada, Singapura Dan Australia’ di Auditorium Menara Dato Onn, malam tadi.
Turut hadir Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Panel terdiri daripada Timbalan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani; Felo Kanan ISEAS Singapore, Dr Norshahril Saat; Pengarah Projek Madani Research Centre, Amerul Muner Mohammad.
Sementara itu, Dr Norshahril menyifatkan pendekatan melalui media sosial tidak memberi impak sepenuhnya kerana memainkan isu-isu nasional.
Sebaliknya kata beliau, kerja-kerja akar umbi perlu diberikan keutamaan dengan menyantuni rakyat di kawasan kerana ia memberikan kesan lebih mendalam kepada pengundi.
“Ahli politik tidak perlu terbawa-bawa dengan media sosial kerana medium ini ada kekurangannya. Di Singapura jika ada komen-komen di media sosial itu adalah isu-isu nasional.
“Tapi apabila kembali kepada pengundi mereka melihat berdasarkan tauladan, jadi isu yang dibangkitkan atau serangan di media sosial terhadap mana-mana tokoh tidak semestinya mengubah pengundian, kerana ia berdasarkan kerja-kerja di akar umbi.
“Kerana kerja-kerja di akar umbi masih penting jika bercakap tentang kerusi Malayu saya fikir kerja-kerja menyelesaikan masalah di kampung-kampung itu masih menjadi teras yang boleh memenangkan undi,” ujar beliau. – UMNO Online