Kepimpinan Muda UMNO Perlu Terus Diperkasa Dari Peringkat Akar Umbi – Haryaty

KUALA LUMPUR, 23 Mei – UMNO perlu ada barisan kepimpinan muda yang hebat, baik sahsiah dan mampu diketengahkan dipelbagai platform sebagai lapisan kepimpinan parti.

Exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Haryaty Hamdzah berkata usaha ini perlu sentiasa digerakkan malah ia adalah satu kesedaran wajib untuk dilaksanakan dalam membina masa depan parti yang lebih baik.

“Latihan, perancangan, kecekapan kepimpinan, menjadi pemidato parti dan setiap usaha kecil untuk mencipta atau melahirkan bangsa yang hebat ini perlu digerakkan dari bawah.

“Sebagai contoh Parti Komunis China (CPC), mereka mengenalpasti potensi bakat seawal sekolah rendah, dibimbing mereka sehingga dewasa dan mereka diberikan pendedahan dalam dan luar negara.

“Setiap pemimpin mereka perlu melalui kelayakan tertentu dan mendapat sijil serta pengiktirafan politik sebelum layak duduk diposisi kepimpinan parti. Mereka ada ramai pelapis kerana mereka dibimbing dari awal,” katanya.

Seterusnya kata Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka itu, sudah tiba masanya Wanita UMNO juga diberikan peluang untuk menjadi tonggak utama dalam menentukan hala tuju parti.

“Mungkin tiba masanya untuk pemimpin menilai, memberikan kepercayaan dan meletakkan wanita diposisi yang baik, supaya mereka dapat menjadi pemain utama pasukan UMNO yang bermanfaat bukan sekadar menjadi pemain simpanan.

“Kita juga masih terkebelakang dalam memberi pengiktirafan kepada wanita, maka dengan wujudnya sekolah politik ini, saya harapkan agar lebih ramai pemimpin wanita dapat dilahirkan,”ujarnya.

Untuk rekod, Sekolah Patriotik mencipta satu lagi sejarah pada 11 Mei lalu apabila majlis graduasi disempurnakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Majlis tersebut menjadi simbolik kepada pengiktirafan usaha sekolah dalam melahirkan pelajar berjiwa patriotik dan berwawasan negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79