Kemudahan Sukan, Bimbingan Usahawan Untuk Anak Muda Terus Jadi Keutamaan – Exco Johor

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Kerajaan Negeri Johor memahami keperluan kemudahan sukan khususnya untuk komuniti setempat, dalam usaha membina sebuah masyarakat yang aktif dan berdaya sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata terdapat beberapa cadangan tapak mini stadium atau TMIYC daerah Segamat, di antaranya di Bandar Baru Segamat, Mukim Sungai Segamat, DUN Kemelah.

“Tapak berhampiran Mahkamah Segamat (Rezab Kompleks Sukan dan Stadium Mini), 10.7 ekar, Bandar Segamat, Mukim Sungai Segamat, DUN Jementah, Tapak Rekreasi Batu Hampar (Rezab Tapak Rekreasi), lima ekar, Labis, Mukim Labis, DUN Tenang. Tapak Bukit Mambai (Rezab Kompleks Rakan Muda) , 18.3 ekar.

“Pentadbiran Daerah telah mengadakan beberapa siri perbincangan dan mencadangkan keutamaan tapak adalah di Bandar Baru Segamat, Tapak berhampiran Mahkamah Segamat (Rezab Kompleks Sukan dan Stadium Mini) yang seluas 10.7 ekar,” katanya pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini.

Hairi seterusnya memaklumkan pembinaan TMIYC Batu Pahat yang dibangkitkan ADUN Parit Raja dalam perbahasan telah mendapat perhatian dan berdasarkan pemakluman daripada Majlis Perbandaran Batu Pahat, pembinaan dicadangkan di Tapak Rizab Komplek Sukan di Taman Pura Kencana, Sri Gading dengan cadangan pembangunan berkeluasan 10.58 ekar.

“Pembangunan TMIYC Batu Pahat akan melibatkan tiga komponen utama iaitu Komponen Rekreasi yang terdiri daripada pembinaan Gelanggang Terbuka, Taman Permainan, Trek Joging, Gimnasium Luar (Outdoor) dan Laman Santai Belia selain Komponen Keusahawanan yang terdiri daripada Bangunan Usahawanan Belia dan Bangunan E-Sukan selain kawasan pengusaha-pengusaha yang menjalankan perniagaan menggunakan trak makanan.

“Komponen-komponen dataran yang terdiri daripada Dataran Terbuka beserta pentas dan Litar ‘Remote Control’ (RC). Saya juga dimaklumkan, pembinaan TMIYC  Batu Pahat ini juga akan menelan kos berjumlah RM20 juta dengan tempoh pembinaan adalah selama 24 bulan,” tambahnya.

Hairi seterusnya menjelaskan isu naik taraf gelanggang futsal di Gambir dan penambahbaikan fasiliti sukan di seluruh kawasan luar bandar termasuk Pekan Nanas bagi membolehkan anak muda di sana dapat memanfaatkan kemudahan dan bermain futsal dengan lebih selesa.

“Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor mengambil maklum berkenaan permohonan Gambir untuk menaiktaraf salah satu gelanggang futsal di dalam kawasan Bukit Gambir untuk dinaiktaraf kepada gelanggang berbumbung.

“Untuk makluman, selain diangkat di peringkat Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD), Yang Berhormat boleh membuat permohonan untuk dipanjangkan kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berdasarkan status tanah dan peruntukan sedia ada, bagi pertimbangan lanjut Jawatankuasa di bawah Bahagian Pembangunan KBS.

“Usaha penambahbaikan fasiliti sukan di semua lokasi termasuk kawasan luar bandar sentiasa menjadi keutamaan dan fokus ketika ini dalam memastikan agenda Xtif Johor serta “Sports Nation” (dengan izin) dapat dijayakan.

“Justeru, saya mencadangkan kepada Yang Berhormat Pekan Nanas dan semua Ahli Yang Berhormat untuk menyenaraikan semua fasiliti sukan di kawasan Ahli Yang Berhormat, termasuk maklumat pemilikan semua fasiliti yang uzur atau memerlukan penambahbaikan kepada Pejabat saya bagi tujuan selanjutnya,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Hairi turut menjelaskan perkara berkaitan portfolio Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang dibangkitkan oleh ADUN sepanjang perbahasan.

“Yang Berhormat Parit Raja ada mencadangkan meluaskan rangkaian kursus dan latihan yang ditawarkan kepada usahawan muda luar bandar, iaitu penguasaan perniagaan secara digital dan teknologi terkini seperti AI. Yang Berhormat Penawar juga turut mencadangkan untuk memberikan latihan kepada penggerak Koperasi Komuniti Pelancongan kerana di kawasan Penawar.

“Untuk makluman Yang Berhormat Parit Raja, menerusi Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ), agensi seperti Jabatan Pertanian dan PUJB sentiasa melaksanakan pelbagai kursus terutama mengikut kehendak masa kini.

“Antaranya e-invois, ChapGPT, Kecerdasan Buatan atau AI, Pemasaran menerusi Tiktok dan Shopee. Selain itu, kita juga melaksanakan kursus merangkumi seluruh daerah samada secara fizikal mahupun dalam talian.

“Pada tahun 2025, pelaksanaan kursus keusahawanan digerakkan dibawah inisiatif Didik Usahawan Bangsa Johor yang diselaraskan oleh PUJB. Seramai 4,000 usahawan dijangka menerima manfaat daripada program ini menerusi pelaksanaan sebanyak 100 siri kursus dan latihan. Sehingga Mei 2025, sebanyak 55 siri kursus diadakan melibatkan 2,545 usahawan,” tambahnya.

Tambahnya lagi, sebanyak 28 Kursus Anjuran Jabatan Pertanian yang berunsurkan pemasaran digital dan pengaplikasian teknologi terkini telah dirancang pada tahun 2025 dengan sasaran peserta seramai 580 Orang.

“Sehingga Mei 2025, sebanyak 6 kursus telah dilaksanakan di pelbagai daerah dan melibatkan seramai 149 orang peserta. 22 Kursus lagi akan dilaksanakan sepanjang Bulan Jun sehingga September 2025,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79