Dr Anil Sandhu Seru Kesetiaan Kepada UMNO/BN Demi Kestabilan Sabah

 

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Dr Anil Sandhu harap agar UMNO/Barisan Nasional (BN) tidak lagi menjadi mangsa pengkhianatan politik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Beliau juga menyatakan sokongan padu terhadap gesaan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu parti ini kembali dominan dan tidak ditipu lagi.

Ujarnya, calon PRN yang bakal dipilih kelak harus mempunyai kredibiliti tinggi serta kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada parti.

“Kita harus ada calon yang berkredibiliti sebagai pemimpin masa akan datang, calon itu mesti ‘loyal’ kepada parti dan berjuang untuk UMNO, bukan mempunyai agenda peribadi atau kepentingan lain.

“Gabungan UMNO/BN dengan Pakatan Harapan (PH) dan lain-lain mestilah betul-betul mantap. Kita tidak mahu berlaku ‘tikam belakang’ atau ‘udang sebalik batu’ yang akhirnya akan merugikan parti.

“Memandangkan UMNO/BN bergabung dengan PH maka ia mestilah gabungan yang betul-betul mantap untuk PRN akan datang. Kita tidak mahu ada tikam menikam dari belakang mahupun ‘udang sebalik batu’.

“Semua pucuk pimpinan parti UMNO/BN perlu mengambil satu pendekatan yang sama agar kesepaduan parti dapat diperkukuhkan sebelum menghadapi PRN,” katanya kepada UMNO Online.

Pada masa yang sama Dr Anil yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu menjelaskan UMNO telah memainkan peranan penting dalam pembangunan dan kestabilan negeri selain menjadi parti utama yang membantu rakyat sejak dahulu lagi.

“Jangan ada sengketa dalaman, kita perlu terus berjuang untuk memastikan UMNO/BN ini kekal relevan di Sabah kerana ia telah banyak membawa pembangunan, kestabilan negeri serta membantu rakyat dan menjadi parti yang dipelawa oleh pemimpin-pemimpin tertinggi Sabah dahulu.

“UMNO bukannya parti singgah atau pun tiba-tiba tetapi dipelawa datang ke Sabah, kita dari kapal kecil United Sabah National Organisation (USNO) pindah ke kapal besar BN melalui UMNO ketika itu,” katanya lagi.

Dr Anil turut menggesa agar generasi muda dan ahli Pemuda UMNO terus menjadi barisan hadapan dalam menyampaikan suara rakyat serta mempertahankan prinsip perjuangan parti. – UMNO Online

 

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79