UMNO Sentiasa Bersama Rakyat, Mohd Rafi Turun Padang Santuni Masyarakat

LABUAN, 22 Mei – Komitmen UMNO dalam mendampingi rakyat terus diperkukuh sebagaimana dilaksana Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan yang meluangkan masa menyantuni pelbagai lapisan masyarakat .

Ujarnya, keberadaan parti keramat itu adalah untuk terus berbakti kepada rakyat tanpa mengira masa maka kerana itu semangat perjuangan dan khidmat dilaksana tanpa henti dalam apa-apa juga perkara.

“Saya amat yakin bahawa UMNO kekal relevan kerana asas perjuangannya adalah rakyat. Kita tidak pernah lari dari denyut nadi masyarakat, malah sentiasa berada di sisi mereka dalam susah dan senang.

“UMNO Labuan akan terus menjadi jambatan dan suara kepada rakyat. Kami akan terus bekerja untuk rakyat, mendengar suara mereka, dan memastikan Labuan terus membangun demi kesejahteraan bersama,” ujarnya.

Terdahulu Mohd Rafi bersama-sama meraikan warga tempatan dalam dua program besar di Labuan, baru-baru ini iaitu dalam Sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan dan juga Majlis Sambutan Hari Guru.

Katanya, setiap program memberi makna yang sangat besar malah ruang terbaik untuk bertemu dan beramah mesra di samping menyelami kehidupan mereka hari ini.

“Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan baru-baru ini adalah antara kesempatan bersama golongan belia yang menjadi tunjang masa depan negara.

“Belia adalah pewaris negara. Di tangan mereka terletaknya masa depan Labuan dan Malaysia. Saya doakan agar semua anak muda di Labuan terus cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau turut menyeru agar belia terus mendukung semangat perpaduan dan pembangunan seiring aspirasi negara yang progresif dan inklusif.

UMNO, katanya, sentiasa memberi sokongan padu kepada pembangunan belia menerusi pelbagai program dan inisiatif akar umbi.

“Program-program masyarakat hari ini amat penting dalam memastikan perpaduan dan persefahaman terus disemai di samping usaha kita memperkukuh hakikat bahawa UMNO bukan sekadar sebuah parti politik, tetapi merupakan institusi perjuangan yang sentiasa menjiwai denyut nadi rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79