UMNO Negeri Sembilan Tidak Akan Berhenti Perkukuh Gerak Kerja Santuni Rakyat – Jalaluddin
KUALA LUMPUR, 22 Mei – UMNO Negeri Sembilan tidak akan berhenti dalam usaha untuk memperkukuhkan gerak kerja terutamanya dalam menyantuni rakyat, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan sebuah pertemuan telah diadakan untuk sesi dialog bersama wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di negeri itu.
“Tagline ‘Kita Gerak Bersama’ bukanlah sekadar slogan atau riuh rendah sorak semata. Sebaliknya ia merupakan hala tuju dan sebuah semangat kebersamaan dalam sebuah keluarga besar UMNO dan BN.
“Atas prinsip itulah saya selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan (BPUNS) telah bertemu muka dan berdialog dengan para wakil rakyat BN di Negeri Sembilan.
“Ia merupakan sebuah tatakelola rutin untuk mengukuhkan kekuatan kepimpinan dan para wakil rakyat yang mewakili parti ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa UMNO Negeri Sembilan akan terus kekal bersama dan menyantuni rakyat di negeri tersebut.
“Terima kasih Timbalan Pengerusi BN merangkap Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan atas kata-kata semangat dan kebersamaan dalam pasukan.
“UMNO Negeri Sembilan tidak akan berhenti dalam usaha mengukuhkan gerak kerja menyantuni rakyat dan mengukuhkan kesetiaan ahli parti. Insya-Allah UMNO Negeri Sembilan akan kekal bersama rakyat,” katanya. – UMNO Online