Sidang DUN Johor: Hasni Tekan Dua Perkara Utama

JOHOR BAHRU, 22 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir Hasni Mohammad menekankan dua perkara penting dalam perbahasan beliau pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini.

Beliau menegaskan dua perkara utama menjadi tumpuan antaranya ekonomi dan infrastruktur selaras dengan titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

“Johor berpotensi menjana tambahan RM122.5 bilion kepada KDNK serta lebih 20,000 peluang pekerjaan menjelang 2030. Namun, ini hanya dapat dicapai jika agensi seperti Invest Johor dan JTDC diperkasa dengan mandat dan tadbir urus yang kukuh,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Dari segi infrastruktur pula kata beliau, Johor perlu memastikan pengurusan peruntukan persekutuan telus dan mampan, serta bersedia dengan dasar dan model tadbir urus baharu untuk memenuhi keperluan industri strategik seperti pusat data dan tenaga.

“Zon Ekonomi Khas ini bukan sekadar projek fizikal, tetapi pelaburan jangka panjang untuk masa depan Johor dan negara. Jika dirancang dan dilaksana dengan baik, Johor akan menjadi peneraju kemajuan rantau ini,” tambahnya.

Pada masa yang sama beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih atas titah peringatan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bahawa ekonomi, pendidikan, infrastruktur dan kesihatan di negeri Johor ini perlulah sentiasa dalam keadaan yang baik.

“Titah baginda menjadi panduan penting dalam merangka hala tuju pembangunan negeri Johor,” tambahnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79