Saarani Santuni Mangsa Kebakaran, Sampaikan Sumbangan
KUALA LUMPUR, 22 Mei – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berbesar hati turun padang menyantuni mangsa kebakaran di Kuala Kangsar.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak meluahkan kesyukuran apabila keluarga Sedi Pjg Abdullah terselamat daripada tragedi tersebut meskipun rumah musnah.
“Saya turun ke Kuala Kangsar ziarah rumah Sedi Pjg Abdullah dekat Kampung Jarau yang musnah akibat kebakaran malam tadi.
“Syukur alhamdulillah beliau dan keluarga selamat. Cuma ada yang mengalami cedera ringan.
“Saya telah menyalurkan sedikit sumbangan kepada keluarga Sedi Pjg Abdullah. Mudah-mudahan ia sedikit sebanyak dapat bantu ringankan beban,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Saarani dalam pada itu turut sama mengarahkan jabatan-jabatan berkaitan dan pegawai khas di Dewan Undangan Negeri Chenderoh, Datuk Ariff Majid untuk membantu keluarga mangsa bagi keperluan-keperluan yang selanjutnya.
Sementara itu beliau turut berharap mangsa untuk tabah menghadapi dugaan ini dan berdoa kesemua urusan pemulihan dipermudahkan. – UMNO Online