‘Rakyat Bukan Hanya Mahu Diwakili Tetapi Dihormati Dan Difahami Sebaiknya’ – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pilihan raya hari ini menuntut strategi berasaskan data, psikografi dan adaptasi terhadap keperluan semasa pengundi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata aspek kepentingan rakyat juga perlu dititik beratkan kerana mereka bukan hanya mahu diwakili tetapi dihormati dan difahami sebaiknya.

“Pilihan raya bukan sekadar soal menang atau kalah. Ia adalah soal masa depan siapa yang benar-benar faham dan bersedia untuk memimpin rakyat ke arah yang lebih baik.

“Politik bukan semata-mata permainan kuasa, tetapi medan pemikiran dan solusi, untuk memahami psikologi rakyat, landskap global dan seni menyesuaikan naratif.

“PRU bukan tentang slogan kosong tetapi naratif yang menyentuh hidup rakyat. Barisan Nasional (BN) perlu membina naratif baharu yang menyentuh rakyat antaranya keresahan perumahan, pekerjaan, masa depan anak-anak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum BN: ‘Apa Yang Kita Boleh Belajar Dari PRU Kanada, Singapura Dan Australia’ di Auditorium Menara Dato Onn, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang juga bertindak sebagai moderator.

Panel terdiri daripada Timbalan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani; Felo Kanan ISEAS Singapore, Dr Norshahril Saat; Pengarah Projek Madani Research Centre, Amerul Muner Mohammad.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid turut sama menyentuh berkenaan peranan jentera politik yang moden dan dinamik dengan menggunakan data, microtargeting, komunikasi dua hala yang bukan hanya menfokuskan kepada kuantiti ceramah dan sepanduk semata.

Katanya lagi, politik intelektual dan bernilai juga penting kerana rakyat semakin celik yang mahukan politik berisi serta pemimpin yang bersifat negarawan.

“BN perlu kembali sebagai kekuatan yang mampu memimpin dengan kestabilan dan dasar yang menyelesaikan. Kunci kejayaan adalah pemulihan kepercayaan, bukan hanya menambah undi.

“Malaysia perlu model politik pasca polarisasi, belajar dari Australia dan Kanada gabungan rentas parti boleh wujud jika dibina atas nilai bersama.

“BN mesti jadi teras kestabilan nasional, bukan sekadar pencatur politik,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79