Malaysia-India Setuju Perkukuh Hubungan Diplomatik Pertahanan Sedia Ada – Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Malaysia dan India bersetuju untuk memperkukuhkan hubungan diplomatik sedia ada, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Naib Presiden UMNO telah menerima kunjungan hormat dari Timbalan Menteri Pertahanan India, TYT Shri Sanjay Seth pada Rabu.

“Menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Pertahanan India, TYT Shri Sanjay Seth yang kini berada di Langkawi sempena Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa (LIMA) 2025.

“Kehadiran beliau di sini adalah kunjungan rasmi yang pertama ke Malaysia. Pertemuan ini juga adalah yang pertama antara saya dan beliau.

“Memorandum Persefahaman (MoU) berkait pertahanan antara Malaysia dan India telah ditandatangani sejak 1993 dan kedua-duanya bersetuju untuk hubungan diplomatik pertahanan sedia ada terus diperkukuh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia dan India adalah pengerusi bersama untuk ‘Experts Working Group’ Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Plus mengenai Anti-Keganasan bagi kitaran 2024-2027.

“Terdapat dua belas syarikat yang berpengkalan di India yang menyertai LIMA 2025. India juga adalah antara negara yang mempamerkan aset statik bagi segmen udara dan maritim.

“Selain itu, Malaysia dan India adalah pengerusi bersama ‘Experts Working Group’ Mesyuarat ADMM Plus mengenai Anti-Keganasan bagi kitaran 2024-2027,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79