Keputusan Pemisahan Peranan AG, Pendakwa Raya Diharap Dicapai Sebelum PRU – Azalina

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Kerajaan masih meneliti dan menilai cadangan pemisahan peranan antara Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berharap agar keputusan berkaitan perkara itu dapat dicapai sebelum pilihan raya umum akan datang.

“Sekiranya anda seorang pendakwa raya, kadangkala anda akan terus berkhidmat dalam tugas itu selama bertahun-tahun kerana ia adalah skim perkhidmatan khusus yang memerlukan pengetahuan mendalam.

“Jadi, di bawah kerajaan MADANI, kami sedang menjalankan kajian secara empirikal dan membandingkan sistem kita dengan negara lain bagi menentukan sama ada pendakwa raya kita wajar ditugaskan sepenuhnya, 100 peratus, kepada kerja-kerja pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran AI Legal Justice Roadmap 2025-2026 dan Peta Reformasi Institusi (PetaRI) di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Azalina berkata cadangan pemisahan peranan terbabit adalah isu yang rumit dan melibatkan beberapa aspek teknikal yang perlu diteliti dengan mendalam.

“Kita perlu bawa perkara ini ke beberapa jawatankuasa terlebih dahulu. Setelah keputusan dibuat, barulah ia akan dikemukakan kepada bahagian dasar,” katanya. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79