Jayakan Visi KKDW Untuk Rakyat, Perkasa Luar Bandar dengan Khidmat Tulus – Sharif Musa

LAHAD DATU, 22 Mei – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul menyeru semua pihak khususnya Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JPKKP) di bawah Desa Madani untuk berganding bahu merealisasikan visi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Beliau menekankan betapa pentingnya setiap pemegang amanah bekerja dengan sepenuh hati bagi menjayakan hasrat kerajaan dan inspirasi oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ujarnya, usaha perlu dilaksana dengan meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan peribadi demi pembangunan kawasan luar bandar.

“Tugas dan amanah ini sangat besar maknanya. Ia menjadi medium pengumpulan suara rakyat di luar bandar, yang seterusnya akan membentuk dasar dan arah tuju KKDW,” ujarnya.

Tambah beliau, visi KKDW kali ini berasaskan pendekatan “bottom-up” iaitu gagasan dari rakyat sendiri, bukan semata-mata arahan dari peringkat atasan.

“Inilah ufuk perjuangan yang telah diilhamkan sendiri oleh Datuk Seri Ahmad Zahid untuk memperkasa kawasan luar bandar agar perpaduan dimeterai, pembangunan dimanfaatkan, permodenan dirasai dan modal insan diperkukuh,” katanya lagi.

Sharif Musa yakin dengan sokongan padu dari semua pihak, luar bandar akan menjadi lebih sejahtera dan setanding dengan kawasan bandar.

Beliau turut menegaskan bahawa kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Lahad Datu akan terus konsisten menyantuni rakyat dan menggerakkan pelbagai program turun padang yang bersifat langsung dan menyentuh kehidupan masyarakat secara menyeluruh.

Antaranya ujar beliau ialah inisiatif Program Jelajah Saling Mengasihi UMNO Bahagian Lahad Datu yang menyalurkan pelbagai bentuk bantuan dan sokongan bagi disampaikan terus ke rumah penduduk.

“Insya-Allah! Program Jelajah Saling Mengasihi akan sampai ke rumah anda. Sesiapa yang telah memohon bantuan bakul makanan ke pejabat UMNO Bahagian Lahad Datu, kami akan sampai ke rumah anda pada bila-bila masa sahaja,” jelas beliau.

Bagi pemohon baharu bantuan makanan pula, Sharif Musa memaklumkan bahawa penghantaran akan dibuat pada hari Jumaat dan Sabtu oleh pasukan sukarelawan UMNO dan jentera BN setempat.

“Dan kepada golongan belia yang telah memohon keperluan seperti bola futsal, bola tampar dan jaring, tunggu kami di gelanggang anda. Kami akan sampai untuk menghantar sendiri permintaan anda,” tambahnya.

Menurutnya, khidmat seperti ini mencerminkan pendekatan UMNO/BN yang sentiasa turun padang, dekat dengan rakyat dan sentiasa mendengar denyut nadi masyarakat.

“Kita tidak akan berhenti. Kita akan terus menyantuni rakyat, bukan hanya menjelang pilihan raya, tetapi sebagai amanah berterusan dalam perjuangan membela dan membangunkan masyarakat luar bandar,” katanya penuh tekad. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79