Ini Adalah Masa Untuk Berkhidmat, Bukan Berpolitik… Yahya Tolak Dakwaan Fitnah
KUALA LUMPUR, 22 Mei – Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar menegaskan bahawa sekarang adalah masa untuk berkhidmat kepada rakyat, bukannya bermain politik.
Ini kerana katanya, tindakan seorang ahli parlimen yang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah kononnya UMNO ingin merampas kawasan tersebut adalah satu tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab.
“UMNO Bahagian Johor Bahru menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sempena pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor. Titah baginda jelas, ini adalah masa untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan masa berpolitik.
“Kami berdiri teguh mempertahankan titah baginda dan mengambil pendirian tegas untuk tidak terlibat dalam mana-mana permainan politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat, apatah lagi ketika mereka sedang bergelut dengan cabaran ekonomi.
“Namun amat mendukacitakan apabila terdapat seorang ahli parlimen mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dan sindiran tidak berasas yang cuba menuding jari secara tersirat kepada UMNO kononnya ingin ‘merampas’ kerusi parlimen tersebut. Ini adalah satu tuduhan liar yang tidak bertanggungjawab,” katanya menerusi satu kenyataan.
Ujarnya, UMNO Johor Bahru sentiasa menghormati keputusan pucuk pimpinan parti dalam urusan pembahagian kerusi dan strategi gabungan parti.
“Saya menolak sepenuhnya dakwaan tidak berasas ini yang dilihat taktik terdesak untuk mengalih perhatian daripada kekacauan dalaman parti mereka yang semakin parah. Jangan heret kami ke dalam drama perebutan kuasa dan percaturan politik dalaman parti mereka.
“UMNO Bahagian Johor Bahru sentiasa menghormati keputusan pucuk pimpinan, termasuk dalam urusan pembahagian kerusi dan strategi gabungan parti. Namun ini tidak bermakna kami akan berdiam diri jika nama baik parti kami dicemari dan dijadikan bahan hasutan untuk menimbulkan kebencian,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa UMNO Bahagian Johor Bahru sentiasa terbuka untuk bekerjasama selagi ia dibina atas dasar saling menghormati dan jujur antara satu sama lain.
“Kami ingin beri peringatan… jika yakin dengan prestasi dan perkhidmatan kepada rakyat Johor Bahru, tidak perlulah mencipta naratif kononnya ada ancaman dari luar semata-mata untuk mengekalkan kedudukan dan kekal relevan. Politik takut bayang-bayang sendiri bukan budaya kami.
“Akhir kata, UMNO Bahagian Johor Bahru sentiasa terbuka untuk bekerjasama demi kestabilan dan kepentingan rakyat, selagi kerjasama itu dibina atas dasar saling menghormati serta kejujuran.
“Namun, jika ada pihak yang memilih untuk mengambil sikap bermusuhan, kami juga bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan segala kekuatan yang kami miliki. Apa yang lebih utama, kami tetap komited untuk terus berkhidmat dan berbakti kepada rakyat Johor Bahru,” katanya lagi. – UMNO Online