‘UMNO/BN Johor Istiqamah Agenda Rakyat, Tak Layan Rengekan Segelintir Pihak’
KUALA LUMPUR, 21 Mei – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Johor Bahru, Ahmad Solehin Abd Ghani memaklumkan bahawa UMNO/Barisan Nasional (BN) Johor sentiasa beristiqamah dalam melaksanakan agenda membabitkan rakyat seperti dititahkan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Beliau malah memaklumkan UMNO/BN Johor tidak akan sesekali membiarkan politik murahan mengganggu kestabilan negeri ini.
“Kita bukan baru sehari dua berada dalam dunia politik. Kita faham erti kerjasama tahu bila masa yang sesuai untuk berbincang dan kita tahu bila masa untuk bekerja.
“Politik bukan soal siapa duduk di mana, tetapi soal siapa sanggup bekerja dan menyingsing lengan untuk rakyat.
“UMNO akan terus istiqamah. Kami menghormati amanat DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dan kami memilih untuk mendahulukan kepentingan rakyat Johor,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Ahmad Solehin dalam pada itu berharap pihak yang sengaja mencetuskan kecelaruan untuk berhenti daripada merengek, sebaliknya sentiasa rasional dan fokus dalam kerjasama politik.
Menurut beliau di tambah lagi apabila keadaan rakyat yang masih bergelut dengan tekanan kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi dan pelbagai cabaran semasa.
“Kenyataan mereka yang mendesak BN menyatakan pendirian berkenaan pertandingan satu lawan satu dalam PRN Johor akan datang adalah tindakan yang bukan sahaja tidak matang, malah mencerminkan kecelaruan arah parti yang sedang kehilangan pengaruh.
“Lebih mengecewakan, desakan ini dibuat hanya beberapa hari selepas DYAM Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, bertitah secara jelas agar semua pihak menghentikan polemik politik dan menumpukan perhatian kepada urusan membangunkan negeri dan membantu rakyat.
“Justeru, nasihat saya kepada Amanah, berhentilah merengek. Duduk diam, buat kerja dan tunggu isyarat daripada rakyat serta pemimpin gabungan.
“Kalau pun tidak mampu menyumbang besar, sekurang-kurangnya jangan menjadi ‘beban’ kepada kestabilan yang sedang kita bina bersama,” ujar beliau. – UMNO Online