UMNO/BN Bersama Rakyat Sabah, Sedia Bangkit Hadapi PRN Sabah Ke-17
TENOM, 21 Mei – Kehadiran lebih 5,000 orang dalam program pelancaran Gerak17 UMNO Sabah di Tenom menjadi bukti bahawa sokongan rakyat terhadap UMNO/Barisan Nasional (BN) di Sabah semakin kukuh menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Samasuddin Yusop yang juga Ketua UMNO Bahagian Kalabakan berkata, sambutan luar biasa di Tenom merupakan isyarat jelas bahawa rakyat kini mahukan perubahan yang lebih baik dan stabil.
Katanya, melalui program yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu, dapat dilihat sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat, sekali gus mencerminkan kebangkitan semangat juang UMNO/BN di kawasan pedalaman.
“Kita bukan sekadar mahu bertanding. Kita hendak kembali untuk menang dan membawa perubahan sebenar kepada negeri Sabah yang kita cintai. Jentera UMNO/BN akan terus bergerak ke hadapan demi memastikan aspirasi rakyat dapat direalisasikan,” katanya.
Menurut beliau, gelombang sokongan yang ditunjukkan di Tenom merupakan pemangkin semangat kepada seluruh jentera parti untuk terus bekerja keras dalam memastikan kemenangan berpihak kepada UMNO/BN dalam PRN akan datang.
Gerak17 merupakan inisiatif strategik UMNO Sabah dalam menggerakkan jentera di seluruh negeri sebagai simbolik kebangkitan akar umbi. – UMNO Online