Projek Pembangunan Siap Tapi Masalah Air Tak Selesai, Suhaimi Gesa Tindakan Segera

TELIPOK, 21 Mei – Meskipun pelbagai projek pembangunan rakyat telah siap dilaksanakan di bawah seliaan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, isu keperluan paling asas iaitu bekalan air bersih masih gagal diselesaikan dan terus membelenggu lebih 2,000 penduduk di Taman Putrajaya, di sini.

Suhaimi yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah, melahirkan rasa kecewa apabila usaha yang dilaksanakan selama ini tidak menyentuh keperluan paling minimum dalam kehidupan rakyat, iaitu akses kepada air bersih.

Bagi beliau, projek pembangunan yang digerakkan tidak bermakna jika rakyat masih terpaksa hidup dalam keadaan yang daif dan tidak sepatutnya berlaku dalam mana-mana negeri yang mengaku bertamadun.

“Sesetengah inisiatif di atas kertas tampak menjanjikan, namun sayangnya ia tidak membawa apa-apa hasil. Saya tidak mahu bercakap tentang impian projek mega atau pelan lima tahun. Saya bercakap tentang air iaitu keperluan paling asas, paling minima,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan dan agensi berkaitan tidak boleh terus berbangga dengan pencapaian fizikal semata-mata sekiranya kebajikan asas rakyat masih terabai.

Tambah beliau, kemudahan seperti dewan serbaguna, jalan kampung, titian pejalan kaki dan bangunan stor yang telah dibaik pulih atau dibina semula menerusi lima Projek Mesra Rakyat (PMR) 2023/2024 memang penting, namun itu semua tidak dapat menutup kegagalan sistem dalam memastikan rakyat tidak terus hidup tanpa bekalan air bersih.

Beliau menuntut agar perhatian segera diberikan kepada masalah ini, dengan menyatakan bahawa isu air bukan sahaja menyentuh soal keselesaan hidup, tetapi juga berkait rapat dengan maruah manusia.

“Kita tidak mahu melihat rakyat di Sabah, sebuah negeri yang kaya dengan sumber, terpaksa menadah air hujan atau bergantung kepada bekalan yang tidak menentu saban hari. Ini tidak wajar, dan kita tidak boleh terima keadaan ini berlarutan lebih lama,” tegas beliau lagi.

Ujarnya, masalah bekalan air di Sabah bukan isu baharu, namun ketiadaan penyelesaian yang tuntas menimbulkan persoalan besar tentang keutamaan sebenar pihak bertanggungjawab.

Justeru, Suhaimi menyeru agar kerajaan negeri dan agensi berkaitan segera turun padang, bukan sekadar menilai pelan atas kertas, tetapi benar-benar memahami penderitaan rakyat di lapangan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79