Prihatin Jualan Kasih Johor… Haslinda Salleh Dapatkan Penjelasan Dalam DUN
KUALA LUMPUR, 21 Mei – Keprihatinan dalam kos sara hidup yang semakin meningkat mendorong Ahli Dewan Undangan Negeri Tenang, Haslinda Salleh untuk mendapatkan penjelasan terperinci membabitkan Program Jualan Kasih Johor.
Beliau yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia bertanya mengenai cadangan penambahan peruntukan bagi meringankan beban rakyat melalui program ini.
“Apakah terdapat sebarang cadangan daripada kerajaan negeri untuk menambah jumlah barangan serta peruntukan Jualan Kasih Johor yang sering mengalami masalah kekurangan bekalan berbanding permintaan?” katanya.
Haslinda berkata demikian pada Persidangan Dewan Negeri Johor semalam.
Menjawab kepada persoalan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri, Datuk Zahari Sarip memaklumkan perlaksanaan Jualan Kasih Johor ini memberi respon yang sangat positif daripada rakyat negeri ini kerana ia dapat membantu mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Beliau memaklumkan, insiatif Kerajaan Negeri Johor melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi Program Keterjaminan Makanan telah menerima peruntukan pada tahun 2025 sebanyak RM6.6 Juta berbanding RM5 Juta pada tahun 2024.
“Selain itu juga, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Kerajaan Negeri Johor menerusi Jualan Kasih Johor turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM1.5 Juta yang menyaksikan telah dilaksanakan sepanjang tahun 2024 sebanyak 332 lokasi.
“lanya memberi respons yang sangat positif dari penduduk di Negeri Johor kerana dapat membantu mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Jualan Kasih Johor mensasarkan jualan barangan keperluan harian seperti ayam, ikan, telur dan minyak masak yang berkualiti dengan harga yang berpatutan kepada penduduk di Negeri Johor melalui tampungan harga. Dengan insiatif Jualan Kasih Johor ini telah memberi manfaat kepada 865,670 orang awam dengan melibatkan jumlah nilai jualan sebanyak RM19,351,713 bersamaan jumlah kuantiti jualan 1,874.48 Mt terkumpul,” ujar beliau.
Bagi pertambahan barangan, beliau memaklumkan FAMA juga sedang menilai keperluan untuk menambah barangan merujuk kepada lokasi dan demografik kawasan jualan, terutamanya bagi barangan keperluan asas sekiranya permintaan di luar jangkaan.
“Langkah ini akan dilaksanakan melalui koordinasi yang lebih rapat bersama usahawan tani tempatan serta rantaian pemasaran strategik bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi,” ujar beliau. – UMNO Online