Persidangan UMNO: Gunakan Ruang Sebaiknya, Lontarkan Pandangan Akar Umbi – Amizar
KUALA LUMPUR, 21 Mei – Mesyuarat UMNO peringkat cawangan yang sedang berlangsung di seluruh negara bukanlah sekadar rutin biasa malah ianya merupakan satu platform penting untuk ahli parti.
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam berkata itulah peluang sebaiknya sebagai ahli parti di peringkat akar umbi untuk menyampaikan pandangan dan sebagainya.
Bagi beliau yang turut berpeluang menunaikan hak ahli di Cawangan UMNO Felda Chemomoi semalam, ruang tersebut perlu disahut sebaiknya untuk kelangsungan parti.
“Alhamdulillah, berpeluang menunaikan tanggungjawab sebagai ahli UMNO Cawangan Felda Chemomoi dengan menghadiri Mesyuarat Cawangan yang berlangsung dengan penuh semangat dan muafakat.
“Kehadiran ahli mencerminkan kesungguhan kita semua dalam memastikan hala tuju parti terus kukuh dan relevan. Mesyuarat ini bukan sekadar agenda rutin, tetapi satu medan penting untuk menyuarakan pandangan, menyusun strategi dan mempereratkan lagi ukhuwah sesama ahli,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Amizar seterusnya menambah pandangan dan segala lontaran dariapda akar umbi merupakan satu pandangan yang cukup bermakna untuk parti dalam usaha mengharungi cabaran dan sebagainya.
“Setiap pandangan dan cadangan yang dikongsi hari ini amat bermakna dalam membina kekuatan jentera parti di peringkat akar umbi.
“Terima kasih kepada barisan kepimpinan cawangan serta semua yang hadir atas komitmen dan semangat yang ditunjukkan. Semoga usaha kecil kita hari ini memberi impak besar buat perjuangan parti demi agama, bangsa dan negara,” tambahnya.- UMNO Oline