Melaka Pacu Hab Maritim Dan Aeroangkasa Serantau, Dua MoU Dimeterai Di LIMA’25

LANGKAWI, 21 Mei – Kerajaan Negeri Melaka telah mencatat satu lagi sejarah penting apabila memeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) yang bakal melonjakkan negeri bersejarah ini sebagai pemain utama dalam industri maritim dan aeroangkasa di Asia Tenggara.

Majlis menandatangani MoU berkenaan disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) edisi ke-17, yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi, semalam.

Ujarnya, MoU pertama melibatkan kerjasama antara SM-WEZ Corporation dan Henry The Black Shipyard Sdn. Bhd. untuk cadangan pembangunan limbungan kapal yang dinamakan Limbungan Enrique of Malacca, dengan nilai pelaburan sebanyak RM180 juta.

“Projek ini bukan sekadar membina sebuah limbungan, tetapi membangunkan ekosistem strategik yang merangkumi pembinaan dan baik pulih kapal (SBSR), perkhidmatan marin, serta tarikan pelancongan maritim bertaraf antarabangsa.

“Insya-Allah, ia bakal menjana lebih 500 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan menyumbang kepada GDV sebanyak RM1.8 bilion, sekali gus memperkukuh kedudukan Melaka sebagai pemain utama industri maritim serantau.”

Menariknya, kata beliau, projek ini diilhamkan daripada tokoh pelayar tersohor dari Melaka, Panglima Awang atau lebih dikenali sebagai Enrique of Malacca yang menjadi sebahagian daripada ekspedisi pelayaran dunia Ferdinand Magellan.

“Limbungan ini juga akan membawa nama besar sejarah iaitu Panglima Awang (Enrique of Malacca), pelayar agung dari Melaka yang merentasi dunia bersama Ferdinand Magellan. Hari ini, legasi Enrique diangkat semula… sebagai inspirasi kepada generasi baharu pelaut, jurutera dan usahawan maritim negara,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Dalam perkembangan berasingan, Kerajaan Negeri Melaka turut menandatangani MoU bersama Weststar Aviation Sdn. Bhd. untuk membangunkan Pusat Kecemerlangan Penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam.

Ujar Ab Rauf, pusat ini akan menempatkan kemudahan latihan penerbangan helikopter, hab penyelenggaraan dan baik pulih (Maintenance, Repair & Overhaul – MRO), serta hab logistik khusus untuk helikopter.

“Pembangunan ini juga adalah hasil kerjasama dengan syarikat pengeluar utama helikopter dunia, Leonardo yang berpengkalan di Rome, Italy. Leonardo yang dahulunya dikenali sebagai Agusta Westland merupakan nama terkemuka dalam dunia penerbangan helikopter global kerana kepakaran dalam inovasi kejuruteraan dan integrasi teknologi terkini.

“Saya yakin ekosistem yang strategik ini bakal menyokong operasi udara jangka panjang.”

Terangnya, apabila siap kelak, pusat kecemerlangan ini dijangka mampu melahirkan sehingga 1,500 juruterbang helikopter setiap tahun, sekaligus memposisikan Melaka sebagai hab latihan penerbangan helikopter terbesar di Asia Tenggara malah akan memberi kesan limpahan ekonomi besar dengan membuka ribuan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, selain memperkasa pendidikan dan latihan TVET dalam bidang kejuruteraan serta aeroangkasa.

“Kerajaan Negeri Melaka amat berbesar hati menyambut pelaburan ini kerana ia bukan hanya membawa masuk teknologi dan kepakaran, tetapi juga membuka lembaran baharu untuk rakyat Melaka dengan menyediakan ribuan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, memperkasa pendidikan TVET dalam kejuruteraan dan penerbangan dan mengubah wajah LTAM menjadi pemangkin pembangunan wilayah selatan.

“InsyaAllah, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka akan terus menggembleng usaha untuk memastikan Melaka tidak tertinggal dalam gelombang ekonomi baharu. Inilah bukti iltizam kami, membina negeri berdaya saing, menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.

Melalui dua projek strategik ini, Melaka kini berada di landasan kukuh untuk muncul sebagai pusat pertumbuhan baharu dalam sektor berimpak tinggi, sekaligus memperkukuh kedudukannya di pentas serantau dan antarabangsa. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79