JS-SEZ Pemacu Utama Cipta Pekerjaan Berkualiti Untuk Rakyat Johor – MB

KUALA LUMPUR, 21 Mei – Pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) bukan sekadar membawa masuk pelabur asing, tetapi menjadi pemacu utama penciptaan pekerjaan berkualiti untuk rakyat Johor, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Onn Hafiz berkata demikian ketika menjawab beberapa soalan daripada Ahli-Ahli Dewan berkaitan manfaat pembangunan JS-SEZ kepada seluruh rakyat Johor termasuk daerah-daerah di luar kawasan zon tersebut, pada hari ketiga Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15, di Iskandar Puteri, Johor.

“Apabila syarikat gergasi dunia memilih Johor sebagai hab pelaburan, ia membuka ribuan peluang pekerjaan dalam bidang teknologi, pembuatan dan logistik.

“Ini memberi ruang kepada anak-anak muda dari luar kawasan JS-SEZ untuk mendapatkan kerja yang baik tanpa perlu berhijrah ke negeri lain,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook rasminya.

Tambah Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, dalam masa yang sama, pelaburan besar ini mendorong Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan infrastruktur secara menyeluruh.

Antaranya adalah seperti:
1. Pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan daripada empat lorong kepada enam lorong;
2. Pelebaran Lebuhraya Senai-Desaru (SDE);
3. Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura dijangka siap menjelang tahun 2026;
4. Projek Aliran Transit Automasi Bertingkat (E-ART);
5. Naik taraf sistem dan fasiliti di Kompleks CIQ BSI dan KSAB;
6. Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru (ETS);
7. Naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Senai;
8. Pembinaan Hospital Pasir Gudang dan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2);
9. Pelaksanaan inisiatif Smart City oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT); dan banyak lagi.

Jelas Onn Hafiz, Ini bukan sahaja mempercepat pembangunan kawasan JS-SEZ, tetapi turut membawa kesan limpahan ekonomi ke kawasan-kawasan luar zon.

“Lebih penting lagi, JS-SEZ membuka ruang kepada pemindahan teknologi dan pembangunan modal insan.

“Kerjasama erat Johor–Singapura bakal memperkukuh institusi pendidikan dan latihan, melahirkan tenaga kerja Johor yang berkemahiran tinggi, kompetitif dan bersedia untuk ekonomi masa hadapan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Machap itu lagi.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz mengambil contoh pembinaan Kota Rom yang tidak dibina dalam sehari dan begitu juga Shenzhen, yang kini menjadi kuasa ekonomi dunia bermula sebagai sebuah perkampungan nelayan dan mengambil masa lebih 40 tahun untuk menjadi seperti hari ini.

“Dengan semangat sebagai satu pasukan, iltizam yang teguh dan perancangan yang tuntas, saya yakin kita mampu mencorakkan masa depan negeri yang lebih makmur dan sejahtera untuk seluruh Bangsa Johor. Insya-Allah,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79