Fokus Komitmen Pertahan Kestabilan Johor, Lassim Gesa Hormati Hubungan
KUALA LUMPUR, 21 Mei – Dalam usaha Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan kerajaan negeri sedang bergerak pantas merealisasikan impian bagi menjadikan negeri dan rakyat bertambah sejahtera, suara-suara yang berkumandang seolah-olah ingin menghalang fokus dan cuba merosakkan imej serta mencalar kewibawaan.
Demikian bidas Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Mohd Lassim Burhan.
Katanya, sebagai rakyat perlulah melihat kesungguhan kerajaan negeri mengukuh ekonomi, mempertingkatkan kualiti fasiliti awam, memperjuangkan rumah yang lebih kondusif untuk rakyat, subsidi jualan Kasih Johor untuk mengimbangi kos sara hidup, menarik pelabur bagi membuka peluang pekerjaan dan banyak lagi usaha yang sedang giat berjalan.
Beliau berkata demikian susulan Timbalan Pengerusi Amanah Johor Dzulkefly Ahmad yang mendesak UMNO negeri menyatakan pendirian sama ada akan bertanding secara tiga penjuru atau dua penjuru melalui gabungan kerajaan perpaduan, pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
“Jika kamu terus mendesak tanpa rasa segan, kami pula akan mula merayu kepada pucuk pimpinan agar bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Johor.
“Selama ini UMNO dan Barisan Nasional (BN) bertanding di semua DUN dan Parlimen di Johor kecuali di Pulai dan Simpang Jeram atas rasa ingin membantu Pakatan Harapan (PH). Adakah itu tidak dirasakan membantu dan menghormati hubungan. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul,” katanya.
Pada PRN Johor 2022, BN meraih kemenangan selesa apabila berjaya memperoleh kejayaan majoriti dua pertiga. Ini menerusi kejayaan BN menawan 40 daripada 56 kerusi DUN Johor. – UMNO Online