Ekonomi Malaysia Tumbuh Sebanyak 4.4 Peratus Suku Pertama 2025 – Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR, 21 Mei – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan bahawa ekonomi Malaysia tumbuh sebanyak 4.4 peratus pada suku pertama tahun ini.
Beliau yang juga Ahli Majllis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menerusi hantaran video di laman Facebooknya turut memaklumkan bahawa situasi pelaburan di negara ini semakin rancak dan ramai pelabur meneruskan projek mereka.
“Alhamdulillah, ekonomi Malaysia tumbuh sebanyak 4.4 peratus pada suku pertama tahun ini. Pertumbuhan ini banyak disumbang oleh perbelanjaan rakyat. Apabila rakyat yakin ada kerja… ada pendapatan, mereka berbelanja. Ini yang menggerakkan ekonomi negara dari bawah.
“Selain itu, pelaburan pun makin rancak. Ramai pelabur, baik dari dalam atau luar negara, yakin dengan potensi Malaysia dan meneruskan projek mereka di sini,” katanya.
Jelasnya, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memainkan peranan penting untuk mengurus isu pelaburan, eksport dan industri negara.
“Jadi, apa peranan MITI? Apabila kita sebut tentang pelaburan, eksport, industri… itulah tugas harian MITI. MITI bekerja keras untuk tarik lebih banyak pelaburan berkualiti terutamanya dalam sektor strategik seperti elektrik dan elektronik (E&E).
“Hasilnya, eksport E&E kita kekal kukuh dan jadi penyumbang utama pertumbuhan. Apabila pelaburan masuk, kilang buka… eksport meningkat. Ini bermakna, lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat, peluang perniagaan bagi syarikat tempatan, terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kita,” katanya.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul mengakui bahawa terdapat pelbagai cabaran dan ia perlu ditangkis dengan baik untuk mewujudkan ekonomi yang stabil kepada rakyat.
“Memang ada cabaran di peringkat global seperti isu tarif timbal balas Amerika Syarikat. Tetapi MITI sentiasa pantau dan ambil langkah perlu untuk pastikan perniagaan kita terus berdaya saing di peringkat antarabangsa.
“Strategi kita mudah. Pertama, selain berunding dengan Amerika Syarikat, kita cari dan kembangkan pasaran baharu untuk jual barang-barang buatan Malaysia. Jangan bergantung kepada pasaran lama sahaja. Kedua, kita kuatkan ekonomi dalam negara.
“Inilah reformasi ekonomi Madani. Kita nak pastikan ekonomi negara ini stabil, wujudkan lebih banyak peluang kerja dan perniagaan untuk bantu rakyat hadapi kos sara hidup. Kerajaan akan terus bekerja keras untuk pastikan ekonomi kita terus tumbuh stabil dan hasilnya dapat dinikmati oleh rakyat. Terima kasih atas sokongan anda. Sama-sama kita bangunkan ekonomi Malaysia,” katanya lagi. – UMNO Online