Depani PRN Johor: Setiap Parti Ada Hak Rancang Strategi Politik – Md Israk

KUALA LUMPUR, 21 Mei – Setiap parti mempunyai hak untuk merancang strategi politik berdasarkan mandat rakyat dan realiti semasa terutamanya bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 kelak.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, Md Israk Abdullah berkata, tindakan mendesak Barisan Nasional (BN) menyatakan pendirian kerjasama untuk PRN ke-16 mencerminkan sikap tidak matang dan gagal memahami realiti politik semasa.

“UMNO Johor memandang serius kenyataan yang secara terbuka mendesak BN menyatakan pendirian berhubung kerjasama dalam PRN ke-16. Tindakan seperti ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah mencerminkan ketidakmatangan dan kegagalan memahami realiti politik serta keutamaan rakyat ketika ini.

“UMNO Johor menghargai kerjasama di peringkat persekutuan menerusi Kerajaan Perpaduan. Namun, adalah penting untuk difahami bahawa setiap parti mempunyai hak bagi merancang strategi politik berdasarkan mandat rakyat dan realiti semasa.

“UMNO Johor ingin menegaskan bahawa kerajaan negeri hari ini terbentuk hasil daripada mandat jelas yang diberikan oleh rakyat melalui PRN pada 2022. BN telah memperoleh 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Ini merupakan kemenangan mutlak dan sah dalam kerangka demokrasi,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai berkata, desakan tersebut akan menganggu tumpuan Kerajaan Negeri Johor dalam menyelesaikan isu-isu rakyat dan fokus menjayakan agenda Maju Johor.

“Oleh itu, sebarang desakan atau tekanan bersifat politik sempit hanya akan mengganggu tumpuan kepada isu-isu rakyat yang jauh lebih penting seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, dan kelestarian pembangunan negeri.

“UMNO Johor ingin menegaskan bahawa fokus kami kekal kepada usaha menjayakan agenda Maju Johor, menjamin kestabilan politik dan memastikan kemakmuran dinikmati oleh seluruh rakyat negeri ini. Sebarang cubaan untuk mengheret BN Johor ke dalam polemik politik berkaitan pembahagian kerusi atau pelantikan jawatan hanya mencetuskan kekusutan dan merugikan rakyat.

“Malangnya, mereka dilihat lebih gemar membangkitkan polemik politik berbanding menyumbang idea untuk pembangunan negeri. Sikap ini bukan sahaja tidak membantu, malah mencemarkan semangat kebersamaan yang amat diperlukan dalam menghadapi cabaran ekonomi dan geopolitik semasa.

“Pihak tersebut seharusnya menunjukkan kematangan politik dan menjadikan kepentingan rakyat serta pembangunan negeri sebagai keutamaan, mengatasi segala pertimbangan peribadi,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menyeru semua pihak untuk kembali kepada asas perjuangan dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dan menghentikan politik polemik.

“Ketika sidang DUN berlangsung, beliau sepatutnya membantu, menumpukan tenaga dan buah fikiran untuk memperkukuh dasar-dasar yang membawa kebaikan kepada rakyat Johor melalui satu-satunya wakil yang ada. Malangnya, beliau lebih memilih untuk mengalih fokus kepada soal pelantikan dan pembahagian kerusi yang tidak membantu langsung penyelesaian masalah rakyat.

“UMNO Johor berpandangan, sekiranya mereka lebih cenderung bermain politik
daripada berganding bahu membangunkan negeri, maka biarlah rakyat sendiri menilai siapa yang benar-benar matang dan bertanggungjawab.

“Nasihat kami… kembalilah kepada asas perjuangan. Letakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, bukan sekadar mencipta persepsi atau meraih keuntungan politik sementara. Hentikan politik polemik. Marilah kita semua fokus bekerja demi kesejahteraan rakyat Johor,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79