TMIYC Platform Perkasa Belia Johor – MB Johor
JOHOR BAHRU, 20 Mei – Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) disifatkan sebagai satu inisiatif penting dalam memperkasakan golongan belia di Johor, kata Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri satu sesi ramah mesra bersama Orang Muda Johor yang berlangsung dalam suasana penuh semangat dan keterbukaan, semalam.
Ujarnya, sesi tersebut menjadi wadah buat golongan muda menyuarakan pandangan, cadangan serta harapan mereka terhadap pembangunan belia melalui platform TMIYC.
“TMIYC bukan sekadar pusat rekreasi, tetapi sebuah hab pembangunan sahsiah, potensi dan kepimpinan belia Johor. Ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti skatepark, dinding panjat, trek joging dan ruang acara yang menyokong pelaksanaan program pembangunan diri,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.
Tambah beliau, setiap pusat TMIYC direka khas mengikut keperluan serta minat belia setempat, demi memastikan program yang ditawarkan relevan dan berkesan.
Kerajaan Negeri Johor, ujar beliau, komited untuk menjadikan TMIYC sebagai pusat pembangunan belia yang inklusif, moden dan progresif.
“Usaha ini selari dengan aspirasi negeri untuk menjadi contoh dalam pembangunan modal insan generasi muda melalui modul pendidikan, kepimpinan, keusahawanan, sukan, rekreasi dan kesukarelawanan,” katanya lagi.
Onn Hafiz turut menzahirkan keyakinan bahawa dengan sokongan berterusan semua pihak, TMIYC mampu melahirkan lebih ramai belia yang berwawasan, aktif serta mampu menjadi pemimpin masa depan yang membanggakan negeri dan Bangsa Johor. – UMNO Online