Semoga LIMA Kekal Jadi Platform Kukuh Perkongsian, Perbanyak Inovasi

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berharap semoga Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) kekal menjadi platform memperkukuhkan perkongsian dan memperbanyak inovasi.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah hadir ke Majlis Pembukaan LIMA 2025, menandakan bahawa bermula secara rasminya acara tersebut pada Isnin.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah hadir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) untuk Majlis Pembukaan LIMA 2025.

“LIMA dilahirkan pada tahun 1991, lebih tiga dekad yang lalu. Ia terbentuk daripada sebuah visi dan matlamat untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah hab maritim dan aeroangkasa di Asia-Pasifik.

“Hari ini, kita dapat saksikan bahawa LIMA telah menjadi acara utama bukan sahaja dalam kalendar nasional, tetapi juga dalam ekosistem pertahanan dan keselamatan global,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa LIMA menjadi platform untuk memaparkan pelbagai pencapaian penting dalam industri pertahanan.

“LIMA bukan semata-mata tentang pameran dan pertunjukan aset. Lebih utama, ia memaparkan pelbagai pencapaian penting seperti platform perkongsian dan kolaborasi yang membangunkan keupayaan industri pertahanan.

“Semoga LIMA kekal menjadi platform yang memperkukuh perkongsian, memperbanyak inovasi, dan memupuk masa depan yang lebih sejahtera untuk semua,” katanya lagi.

Untuk rekod, LIMA 2025 telah bermula secara rasmi pada hari ini (20 Mei 2025) dan akan melabuhkan tirai pada 24 Mei 2025.

Pelancaran LIMA 2025 telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79