Sekretariat Muafakat FELDA Johor Diwujud Untuk Kesejahteraan Dan Pembangunan – Zahari
KUALA LUMPUR, 20 Mei – Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip memaklumkan Sekretariat Muafakat FELDA Negeri Johor berperanan menangani cabaran yang wujud sekaligus memastikan kesejahteraan dan pembangunan FELDA.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Buloh Kasap berkata ia juga bagi memperkasa FELDA negeri ini dari semasa ke semasa, seiring dengan hasrat Johor untuk menjadi negeri maju menjelang 2030.
“Kerajaan berharap, sekretariat ini akan memberikan perhatian terhadap isu-isu berkaitan di 73 Rancangan FELDA di Johor, termasuklah berkenaan Hakmilik Tanah Peneroka, Lot Kediaman Generasi FELDA, Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF), pembangunan infrastruktur, isu semasa berkaitan FELDA dan sebagainya.
“Antara yang akan turut menganggotai sekretariat ini termasuklah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Pengarah Pejabat Tanah Galian (PTG) Johor, Pengarah FELDA Wilayah Johor Bahru dan Segamat, pemimpin-pemimpin tempatan serta wakil-wakil NGO berkaitan FELDA,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Zahari memaklumkan sekretariat ini akan dinaungi oleh Menteri Besar dan dipengerusikan oleh dirinya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan ditanya Anuar Abd Manap (Pemanis-BN) berkaitan Sekretariat Muafakat FELDA Negeri Johor. – UMNO Online