Kerajaan Johor Prihatin Kebajikan Warga Emas, Tubuh J/K Pembangunan Warga Emas

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor Khairin-Nisa Ismail berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor sentiasa prihatin terhadap kebajikan warga emas.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom itu, sehingga pertengahan 2024, seramai 482,600 warga emas berumur 60 tahun ke atas direkodkan di Johor, iaitu 11.5% daripada jumlah penduduk negeri.

“Bagi memastikan kebajikan golongan ini terus terbela, Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Negeri (JPWEN) dan Daerah (JPWED) telah ditubuhkan sebagai platform penyelarasan program serta pemantauan isu berkaitan warga emas, melibatkan kerjasama kerajaan, swasta dan NGO (badan bukan kerajaan).

“Kerajaan juga telah menubuhkan 22 buah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di seluruh negeri bagi menyediakan ruang aktiviti pembelajaran, sosial, keagamaan dan kesihatan kepada warga emas,” katanya dalam satu catatan di laman Facebook rasminya.

Khairin-Nisa berkata demikian ketika menjawab soalan daripada ADUN Senggarang Mohd Yusla Ismail berkaitan perancangan yang akan diambil oleh kerajaan bagi memastikan golongan warga emas di negeri Johor sentiasa terbela, dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Iskandar Puteri, Johor pagi tadi.

Jelas Khairin-Nisa, kerajaan turut menggalakkan PAWE menjalin kerjasama dengan pihak korporat dan NGO untuk memperkasa pelaksanaan program serta menyokong pelan tindakan warga emas secara menyeluruh.

Terdahulu pada Isnin, dalam perkongsian di plaftrom yang sama, Khairin-Nisa turut menjawab soalan yang diutarakan ADUN Pemanis, Anuar Abd Manap berkaitan latihan yang diberikan kepada petugas-petugas di Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK).

Menurut Khairin-Nisa, terdapat 73 buah PPDK di Johor dengan 426 petugas dan 2,496 pelatih Orang Kurang Upaya (OKU).

“Bagi meningkatkan kemahiran petugas, Kursus Asas Petugas PPDK dilaksanakan meliputi pelbagai modul termasuk fisioterapi, intervensi awal dan pengurusan aktiviti harian.

“Taklimat berkaitan Garis Panduan Bantuan Kewangan Kerajaan (BKK) juga diberi bagi memastikan pengurusan kewangan PPDK lebih cekap dan berintegriti.

“Melalui Belanjawan Johor 2025, sebanyak RM300 ribu diperuntukkan di bawah Inisiatif Kedua Puluh, Teras Ketiga: Jaringan Keselamatan Sosial untuk program pemulihan modul terapi melibatkan 5 PPDK terpilih dan memberi manfaat kepada 200 pelatih serta 33 petugas,” katanya.

Selain itu katanya, sebanyak RM110 ribu diperuntukkan di bawah Inisiatif Kedua Puluh Satu, Teras Ketiga: Jaringan Keselamatan Sosial bagi pelaksanaan Kursus Disability Equality Training (DET) dan Kursus Asas Job Coach kepada petugas PPDK, agensi kerajaan dan NGO, bagi membantu OKU kekal dalam pasaran kerja. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79