Hampir 96 Peratus Peneroka Telah Terima Suratan Hak Milik – Wan Rosdy
KUALA LUMPUR, 20 Mei – Hampir 96 peratus peneroka FELDA di Pahang telah menerima Suratan Hak Milik masing-masing, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan telah menyerahkan Suratan Hak Milik kepada 195 orang peneroka FELDA Triang 3 pada Isnin.
“Saya berada di Bera untuk menyerahkan Suratan Hak Milik kepada 195 orang peneroka FELDA Triang 3, yang berlangsung di Dewan Semai Bakti FELDA Triang 3.
“Penyerahan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri Pahang untuk memastikan setiap peneroka FELDA memiliki hak milik tanah mereka sendiri.
“Satu pengiktirafan yang amat bermakna atas segala jerih perih dan sumbangan mereka dalam membangunkan tanah rancangan sejak sekian lama,” katanya.
Jelasnya, 1,840 peneroka yang belum menerima Suratan Hak Milik FELDA masing-masin akan diusahakan agar mereka memperoleh hak masing-masing.
“Setakat ini, seramai 41,286 orang daripada keseluruhan 43,126 peneroka di seluruh negeri, iaitu hampir 96 peratus, telah menerima Suratan Hak Milik masing-masing. Insya-Allah, baki 1,840 orang peneroka lagi akan terus kita usahakan sehingga semuanya selesai.
“Saya berharap agar para peneroka yang menerima hak milik ini dapat menjaganya dengan penuh tanggungjawab, menggunakannya untuk memperkukuh ekonomi keluarga dan menjadi warisan bermakna buat generasi akan datang.
“Semoga nikmat ini menyemarakkan lagi semangat perpaduan, kemajuan dan kesejahteraan di tanah rancangan FELDA kita,” katanya lagi. – UMNO Online