BHEUU Bersama UNICEF Akan Terajui Usaha, Polisi Kendali Jenayah Seksual Kanak-kanak
KUALA LUMPUR, 20 Mei – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan pihaknya dengan kerjasama UNICEF akan melipatganda usaha untuk menerajui pengendalian kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak di peringkat ASEAN dan antarabangsa.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata ia melalui pendekatan halatuju polisi yang lebih komprehensif dan penerusan program latihan kepada semua pihak terbabit seperti hakim, pendakwaraya dan pengamal undang-undang secara amnya.
Azalina berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook bagi berkongsi pelaksanaan program sesi libat urus bersama pihak berkepentingan, bagi pemurnian garis panduan khas pengendalian kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.
“Selepas bengkel dan sesi libat urus ini, satu garis panduan 2.0 berkaitan perkara ini yang lebih jelas dan terkini akan diterbitkan bagi pengendalian kes-kes yang melibatkan anak-anak kita.
“Ini semua merupakan bukti jelas kesungguhan dan komitmen Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cukup menekankan nilai ihsan dalam memastikan kesejahteraan hidup rakyat terbanyak,” katanya.
Sesi yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) ini bertujuan untuk memastikan undang-undang yang telah digubal dapat diterjemah kepada tindakan yang setimpal.
“Pendirian Kerajaan MADANI dan saya dalam hal ini kekal tidak berubah iaitu tiada kompromi terhadap pelaku-pelaku jenayah jelik ini,” ujar beliau. – UMNO Online