UMNO/BN Masih Diterima, Rakyat Sabah Rindukan Kestabilan Dan Perpaduan – Salleh Said
KOTA KINABALU, 19 Mei – UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus mendapat tempat istimewa di hati rakyat Sabah, terutamanya dalam kalangan masyarakat luar bandar yang merindui kestabilan dan perpaduan yang pernah dinikmati di bawah pemerintahan terdahulu.
Bendahari UMNO Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, sambutan hangat rakyat Sabah terhadap lawatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke Sepanggar dan Kemabong baru-baru ini membuktikan bahawa semangat perjuangan UMNO masih kukuh di akar umbi.
“Saya telah menghantar pulang Datuk Seri Ahmad Zahid ke Kuala Lumpur selepas lawatan dua hari beliau. Sambutan yang diberikan amat luar biasa, penuh semangat dan keikhlasan daripada rakyat. Ini jelas menunjukkan bahawa UMNO dan BN masih relevan dan diterima,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.
Menurut Salleh, lawatan tersebut bukan sekadar simbolik, sebaliknya menunjukkan kesiapsiagaan jentera parti di peringkat kawasan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Ramai rakyat, khususnya di luar bandar, masih mengingati zaman pentadbiran BN yang stabil dan terancang. Ketika itu, pembangunan asas seperti jalan raya, bekalan air, elektrik, sekolah, kemudahan kesihatan dan peluang pekerjaan menjadi keutamaan,” tambahnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata dalam suasana politik yang tidak menentu hari ini, rakyat semakin merindui kepimpinan yang mampu menyatupadukan semua kaum dan agama.
UMNO, katanya, telah membuktikan kemampuannya dalam menjamin perpaduan dan kestabilan negeri.
“UMNO dan BN bukan parti baharu. Kita mempunyai rekod pencapaian yang jelas, struktur organisasi yang kukuh dan pengalaman luas dalam pentadbiran. Rakyat tidak mahu lagi terperangkap dengan janji manis yang tidak ditepati,” ujarnya.
Salleh turut memuji langkah Presiden UMNO yang memberikan autonomi penuh kepada UMNO Sabah untuk menentukan bentuk kerjasama politik menjelang PRN.
“Ia satu penghormatan kepada kepimpinan tempatan dan selaras dengan semangat autonomi Sabah dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, PRN kali ini bukan sekadar pertandingan politik biasa, tetapi merupakan penentu masa depan Sabah dari segi kestabilan, pembangunan dan pembelaan kepada rakyat.
“UMNO dan BN, bersama rakan dalam Kerajaan Perpaduan, bersedia memikul amanah ini dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan,” tegasnya lagi. – UMNO Online