Siapa Yang Mula-Mula ‘Mensucikan’ Dap Kalau Bukan Pas? – Syed Mohd Johan

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri menegaskan bahawa Pas adalah parti yang mula-mula ‘mensucikan’ Dap ketika membentuk kerjasama untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun 1999 dahulu.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar berkata, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa bahawa kemenangan UMNO/BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning adalah disebabkan kejayaan parti ini ‘mensucikan’ Dap.

“Kita kena rebut balik pandangan dan persepsi rakyat terutamanya orang Melayu. Propaganda, serangan kepada UMNO adalah semata-mata nak memecahbelahkan kesatuan kita.

“Kalau kita tengok dalam PRK baru-baru ini di Ayer Kuning, Tan Sri Abdul Hadi Awang kata UMNO/BN menang di Ayer Kuning ini sebab berjaya ‘mensucikan’ Dap. Itu kenyataan seorang tok guru.

“Disebabkan UMNO bekerjasama dengan PH yang di dalamnya ada Dap, mereka guna dan ratib isu ini. Beliau mengeluarkan fatwa pula kerana UMNO berjaya ‘mensucikan’ Dap,” katanya menerusi hantaran video yang dimuatnaik di laman TikTok.

Menurutnya, ketika bekerjasama dengan Dap, Pas sanggup mengubah prinsip perjuangan mereka dan mengangkat pemimpin Dap sebagai khalifah Umar Abdul Aziz.

“Siapa yang mula-mula ‘mensucikan’ Dap kalau bukan Pas? Siapa yang ubah prinsip perjuangan mereka daripada nak menubuhkan negara Islam jadi negara berkebajikan ketika mereka buat pakatan dengan Dap sebelum ini?

“Adakah orang UMNO ini pegang bendera Dap? Pas pula banyak gambar pegang bendera Dap dulu. Pernahkah imam-imam, bijak pandai, agamawan orang UMNO solat berjemaah depan pejabat Dap? Tak pernah. Tetapi Pas buat.

“Jadi, siapa yang nak ‘mensucikan’ Dap? Perkara paling besar yang mereka buat ialah mengangkat Lim Guan Eng ketika zaman ‘PasDap’, samakan sebagai khalifah Umar Abdul Aziz. Itu yang Pas buat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa UMNO masih berpegang teguh kepada perjuangan asal terutamanya berkaitan soal agama Islam, kedudukan istimewa orang Melayu dan raja-raja Melayu.

“Kemudian, ketika bersama ‘PasDap’, mereka keluarkan fatwa wajib sokong Dap. Jadi, siapa yang nak ‘mensucikan’ Dap sebenarnya? Isu Dap ini sengaja dibuat supaya kita berpecah belah, rimas dan marah.

“Di Negeri Kedah ini, di mana ada Dap? Kita ada di Kota Darul Aman sahaja calon Dap. Kerjasama dengan Dap tidak semestinya kita sokong, angkat apa yang diperjuangkan mereka.

“Sampai ke hari ini, walaupun UMNO berada dalam Kerajaan Perpaduan, kita tetap berjuang menentang apa jua kenyataan dan pandangan Dap yang menyentuh soal agama, kedudukan orang Melayu, raja-raja Melayu yang kita tidak setuju,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79