Projek Jelapang Padi Kota Belud Gagal: Perlunya Urus Tadbir Bijak – Sufian

KOTA BELUD, 19 Mei – Ketua Pemuda UMNO Sabah, Sufian Abdul Karim menyifatkan kegagalan Projek Jelapang Padi Kota Belud sebagai simbol jelas kelemahan urus tadbir dan mendesak pembaharuan menyeluruh dalam pendekatan dasar sekuriti makanan Sabah.

Menurut beliau, projek yang dilancarkan lebih sedekad lalu dengan harapan besar untuk menjadikan Kota Belud sebagai pusat pengeluaran utama beras negeri, kini terbukti gagal mencapai matlamat asal walaupun menelan peruntukan lebih RM340 juta daripada kerajaan persekutuan dan negeri.

“Setelah sekian lama, tahap sara diri (SSL) beras Sabah hanya berada pada paras 22.8 peratus pada tahun 2024, jauh tersasar daripada sasaran asal iaitu 60 peratus. Ini adalah kegagalan struktur, bukan semata-mata masalah teknikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, projek tersebut yang disasarkan melibatkan 10,000 hektar jelapang padi, turut menyaksikan pelbagai penubuhan dan pelaksanaan seperti Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), serta penubuhan IADA Kota Belud.

Namun, Sufian menyifatkan semua itu hanya menjadi “projek atas kertas” tanpa hasil nyata di lapangan.

“Statistik turut menunjukkan penurunan hasil padi daripada 72,953 metrik tan pada tahun 2016 kepada 67,705 metrik tan pada tahun 2022, manakala masalah asas seperti sistem saliran dan banjir terus membelenggu lebih 7,000 hektar sawah padi saban tahun.

“Jika peruntukan ratusan juta ringgit tidak mampu menyelesaikan masalah asas seperti saliran, bagaimana mungkin rakyat meletakkan keyakinan terhadap keupayaan kerajaan hari ini untuk menjamin masa depan makanan negeri ini?” soal beliau.

Beliau turut menyentuh peranan kepimpinan negeri yang kini masih diketuai oleh individu yang turut berada dalam pentadbiran semasa projek ini mula dilaksanakan.

“Mereka bukan orang luar kepada projek ini. Mereka adalah sebahagian daripada kegagalan itu sendiri. Maka bagaimana rakyat boleh percaya kepada pasukan yang sama untuk memperbaiki kerosakan yang mereka wariskan?” tambah beliau lagi.

Dalam kenyataannya, Sufian menegaskan bahawa Sabah memerlukan sebuah kerajaan yang bijak melaksanakan, bukan sekadar bijak merancang.

“Kita tidak perlukan slogan besar atau papan tanda gah semata-mata. Yang diperlukan rakyat ialah tindakan nyata iaitu ladang yang berfungsi, petani yang terbela, sistem irigasi yang cekap dan hasil tuaian yang meningkat,” tegas beliau.

Beliau turut menyeru agar satu pelan tindakan pemulihan segera dilaksanakan, termasuk pembaikan saliran, penyediaan benih berkualiti, serta audit bebas terhadap projek sedia ada.

“Sudah tiba masanya kerajaan negeri berhenti menuding jari dan mula bertanggungjawab. Rakyat Sabah tidak boleh terus menjadi mangsa kepada dasar yang cantik di atas kertas tetapi gagal di lapangan,” katanya.

Sufian menegaskan bahawa isu sekuriti makanan bukan lagi soal pilihan, tetapi satu keperluan strategik yang memerlukan kepimpinan cekap dan berintegriti untuk masa depan Sabah dan negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79