Persidangan UMNO: Anggota Parti Tunjang Kekuatan, Teruslah Komited Berkhidmat – Mohd Zaidy
JEMPOL, 19 Mei – “UMNO bukan sekadar parti politik, ia adalah gerakan khidmat untuk rakyat dan rakyatlah tunjang sebenar kekuatannya.”
Demikian ditegaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir yang mengharapkan agar persidangan UMNO peringkat Cawangan yang sedang berlangsung sekarang ini menjadi penguat kepada anggotanya secara holistik.
Ujarnya, perjuangan parti tidak boleh luntur walau berdepan apa jua cabaran malah UMNO perlu terus membuktikan komitmen utuh kepada rakyat dalam setiap peringkat.
“Jangan biarkan sebarang kelemahan melemahkan perjuangan kita dalam memastikan parti terus relevan dan berdaya saing malah menjadi tugas kita semua untuk sentiasa menyantuni rakyat setiap masa dan ketika.
“Ingatlah bahawa rakyat adalah tunjang kekuatan kita. Dengarlah rintihan mereka, fahamilah keperluan mereka, dan berusahalah sebaik mungkin untuk membantu menyelesaikan setiap permasalahan mereka,” ujarnya.
Mohd Zaidy menekankan bahawa kekuatan parti terletak pada semangat kebersamaan akar umbi dan hubungan rapat dengan rakyat.
“Kita juga harus sentiasa menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Jangan tunggu hingga mereka datang kepada kita, sebaliknya, kita yang harus ke hadapan, menyantuni mereka dengan hati yang ikhlas. Inilah jiwa perjuangan yang perlu kita tanam dalam diri sebagai pemimpin rakyat.”
Terdahulu beliau telah menyempurnakan perasmian Mesyuarat UMNO Cawangan Kampung Gajah Mati dan Felda Palong 1 di sini dengan penghargaan kepada semangat keutuhan meneruskan perjuangan parti dalam melaksanakan persidangan.
Beliau juga menekankan bahawa mesyuarat bukan sekadar agenda tahunan, tetapi medan memperkukuhkan jentera parti dan menyemai semangat perjuangan di peringkat akar umbi.
“Kita tidak hanya bermesyuarat, tetapi mempersiapkan barisan hadapan parti agar lebih bersedia menghadapi cabaran politik masa kini. Rakyat adalah tunjang kekuatan kita. Dengarlah suara mereka, dekati mereka dengan ikhlas. Itulah roh perjuangan sebenar.
“Keprihatinan terhadap rakyat bukan pilihan, tetapi kewajipan yang menjadi asas kekuatan parti. Semangat membantu rakyat perlu terus hidup dalam setiap anggota parti, tanpa mengira masa dan tempat,” katanya.
Beliau menyeru agar semua ahli terus bersatu, memperkemas gerak kerja, dan sentiasa bersedia menghadapi cabaran politik yang kian kompleks.
“Marilah kita bersama-sama berganding bahu, memperkukuhkan saf perjuangan dan memastikan UMNO terus kukuh di hati rakyat.
“Kita bakal menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 tidak lama lagi. Jangan biarkan sebarang kelemahan menggugat kekuatan kita. Bersatulah, kuatkan tekad, dan terus berjuang untuk memastikan kemenangan besar UMNO dalam PRU-16 nanti,” katanya lagi. – UMNO Online