Perkukuh Barisan, Terus Bawa Perjuangan Suara Rakyat – Mohamad

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Ketua UMNO Bahagian Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan akar umbi parti akan terus bersepadu dalam membawa agenda perjuangan parti keramat ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata ia penting bagi memastikan agenda perjuangan terhadap rakyat dapat diperkasa.

“Insya-Allah, UMNO Bahagian Rembau akan terus memperkukuh barisan, memperjuangkan suara rakyat dan memastikan agenda pembangunan serta kestabilan politik terus menjadi keutamaan.

“Bersatu, bersetia, berkhidmat,” katanya.

Mohamad berkata demikian pada hantaran di Facebook berkongsi kehadirannya pada persidangan cawangan Rantau, Bahagian Rembau.

Menyifatkan persidangan berlangsung dengan sempurna dalam semangat persaudaraan beliau turut sama merakamkan penghargaan kepada kesemua ahli cawangan termasuk Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri yang hadir dan memberi komitmen padu dalam menjayakan persidangan ini.

Sementara itu menerusi hantaran berbeza beliau turut sama menyifatkan belia sebagai nadi kepada masa depan Malaysia yang lebih adil, makmur dan berdaya saing, bersempena Perasmian Sambutan Hari Belia Negara, Peringkat Negeri Sembilan 2025 yang diadakan di Kompleks Belia Paroi.

“Belia adalah aset negara dan bakal pemimpin masa depan yang perlu dibentuk bukan sahaja dari segi ilmu dan kepimpinan, tetapi juga gaya hidup yang sihat.

“Tahniah kepada Majlis Belia Negeri Sembilan (MBN) di bawah pimpinan Presiden MBN Fairuz Rusli dan jawatan kuasa sambutan serta semua pihak yang terlibat menjayakan program ini dari agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, sukarelawan hingga ke komuniti belia yang menunjukkan semangat dan komitmen luar biasa.

“Tahniah juga diucapkan kepada penerima-penerima Anugerah Belia Negeri Sembilan yang telah menunjukkan kecemerlangan diperingkat kategori masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu beliau juga turut sama berbesar hati turun padang meneruskan khidmat bakti di kawasan bagi menyantuni rakyat.

Beliau ke Padang Awam Rantau bagi menyaksikan Kejohanan Olahraga anjuran Sekolah Kebangsaan Datuk Akhir Zaman.

“Acara seperti ini bukan sahaja mencungkil bakat anak-anak dalam bidang sukan tetapi turut membina sahsiah, disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79