Melaka Sasar Lonjakan Industri Penerbangan Menerusi Kerjasama Strategik Di LIMA’25
LANGKAWI, 19 Mei – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersama delegasi Kerajaan Negeri Melaka hari ini selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi bagi menghadiri Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) yang berlangsung sepanjang minggu ini.
Menurut beliau, kehadiran delegasi negeri bukan sahaja untuk menyaksikan pameran bertaraf antarabangsa itu, malah turut melibatkan penyertaan dalam satu detik bersejarah iaitu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri Melaka dan Weststar Aviation Group Sdn. Bhd.
Majlis menandatangani MoU tersebut dijadualkan berlangsung esok dan bakal menyaksikan kerjasama pembangunan Pusat Kecemerlangan Penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM).
“Kerajaan Negeri Melaka turut melihat beberapa potensi kerjasama yang boleh dimanfaatkan hasil daripada pameran LIMA’25 yang dilaporkan sebagai antara yang terbesar dalam sejarah penganjurannya,” katanya.
Beliau turut menyatakan harapan agar penyertaan Melaka dalam LIMA’25 kali ini dapat membuka lebih banyak ruang kolaborasi strategik, khususnya dalam sektor penerbangan yang berpotensi besar untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.
“Kerajaan negeri komited untuk terus membawa Melaka ke tahap yang lebih gemilang,” katanya lagi.
LIMA’25 yang bermula esok sehingga Sabtu ini bakal berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Resorts World Langkawi akan menonjolkan tujuh segmen utama: Aeroangkasa, Maritim, Pertahanan, Komersial, Inovasi, Kelestarian Alam, dan Pendidikan. – UMNO Online