Manfaatkan Persidangan Cawangan Sebagai Landasan UMNO Bangkit Semula

PUTRAJAYA, 19 Mei – Persidangan UMNO Cawangan yang sedang berlangsung di seluruh negara ketika ini wajar dijadikan medan penting bagi ahli-ahli parti untuk kembali bangkit dan memperkukuh gerak kerja menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Demikian kata Senator Dewan Negara merangkap Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya.

Menurut beliau, UMNO kini berada dalam fasa pemulihan yang memerlukan iltizam tinggi daripada semua peringkat kepimpinan dan akar umbi untuk merampas kembali kerusi-kerusi yang telah tewas pada PRU lalu, sama ada di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Persidangan UMNO Cawangan bukan sekadar acara tahunan atau rutin organisasi semata-mata. Ia adalah platform penting untuk menyusun semula kekuatan, mengemukakan cadangan yang konstruktif serta merangka strategi berkesan bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa ahli-ahli UMNO perlu berani menyuarakan pandangan serta melontarkan idea-idea bernas sepanjang persidangan berlangsung kerana cadangan tersebut boleh diangkat ke mesyuarat bahagian, dan seterusnya ke pentas Perhimpunan Agung UMNO.

“Suara akar umbi adalah nadi kekuatan parti. Jika setiap cawangan memainkan peranan aktif, kita mampu menyuntik semangat baharu dalam kalangan ahli dan memperkukuh semula jentera parti menjelang PRU-16,” katanya lagi.

Mohd Hisamudin turut menyatakan harapan khusus kepada cawangan-cawangan UMNO di Putrajaya agar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada dalam persidangan kali ini untuk mengemukakan isu-isu rakyat setempat dan mencadangkan pendekatan baharu dalam memperkukuhkan parti di peringkat akar umbi.

“Putrajaya merupakan kawasan strategik dan simbol pentadbiran negara. Maka, menjadi tanggungjawab kita sebagai pemimpin dan ahli parti di sini untuk memastikan UMNO kembali kukuh dan diterima rakyat,” katanya.

Tambah beliau, parti memerlukan kesepaduan semua pihak untuk bekerja secara berpasukan dan mengenepikan perbezaan demi mencapai matlamat bersama iaitu kemenangan UMNO dan Barisan Nasional.

“Marilah kita semua berganding bahu, menjiwai semangat perjuangan dan menzahirkan iltizam yang tinggi agar UMNO kembali menjadi tunjang kekuatan rakyat dan negara,” ujar beliau lagi.

Terdahulu beliau telah merasmikan mesyuarat di Cawangan Bunga Kantan, Bunga Orkid dan Bunga Reflesia, di sini baru-baru ini.

Persidangan UMNO peringkat Cawangan telah berlangsung bermula 7 April hingga 25 Mei ini dan bakal diikuti dengan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian yang dijadualkan antara 9 Jun hingga 27 Julai 2025.

Seterusnya, Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan dari 20 Ogos hingga 23 Ogos 2025. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79