Ketekunan, Iltizam Teruskan Perjuangan Kembalikan Kegemilangan UMNO Di Kepala Batas
KUALA LUMPUR, 19 Mei – Bersempena Persidangan Tahunan UMNO Cawangan yang berlangsung ketika ini, Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengajak akar umbi parti untuk memperteguh azam meneruskan perjuangan parti keramat ini.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata ia penting bagi mengembalikan kegemilangan parti keramat ini khususnya di Kepala Batas.
“Insya-Allah, kita akan terus diberi kekuatan, ketekunan dan iltizam dalam meneruskan perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air di bawah panji UMNO.
“Mari kita pikul tanggungjawab ini bersama-sama, dengan penuh iltizam dan keikhlasan demi mengembalikan kegemilangan UMNO di bumi Kepala Batas!” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Reezal Merican berkata demikian ketika berkongsi kehadirannya ke Persidangan Tahunan UMNO Cawangan Bertam bagi tahun 2025 di Dewan Al-Faheem, Permatang Bertam.
Meluahkan kesyukuran atas pelaksanaan mesyuarat tersebut yang telah berlangsung secara harmoni, beliau turut sama merakamkan penghargaan dengan semangat luar biasa oleh pendukung parti.
“Suasana persidangan berlangsung dalam keadaan harmoni, penuh semangat kekeluargaan dan kesatuan perjuangan.
“Sebagai Ketua Cawangan, saya amat menghargai kehadiran dan semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh semua ahli cawangan, termasuk perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri.
“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Nordin Wahab yang sudi hadir mewakili UMNO Bahagian Kepala Batas. Kehadiran beliau menyuntik semangat kepada kami semua.
“Tidak dilupakan, terima kasih dan tahniah kepada Datuk Haji Shariful Azhar Othman, Timbalan Ketua Cawangan serta barisan pengurusan UMNO Cawangan yang telah menguruskan persidangan dan perjalanan cawangan dengan sangat baik,” ujar beliau.
Untuk rekod pada 12 Mac lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah memutuskan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan bagi tahun ini bermula pada 7 April hingga 25 Mei ini.
Manakala Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 9 Jun hingga 27 Julai dan 20 Ogos hingga 23 Ogos bagi Perhimpunan Agung UMNO 2025. – UMNO Online