Kehadiran Pemimpin Tertinggi Semarakkan Semangat Perjuangan UMNO Sabah – Jeffery Nor
KOTA KINABALU, 19 Mei – Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO Sabah merangkap Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed mengakui bahawa menyaksikan sambutan luar biasa daripada ahli-ahli dan penyokong UMNO program GERAK17 yang berlangsung baru-baru ini menandakan kebangkitan semangat perjuangan parti terus bersemarak.
Ujarnya, kehadiran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin jelas menjadi pemangkin semangat kepada semua jentera dan penyokong.
“Suasana penuh semangat ini menunjukkan betapa ahli UMNO masih kekal teguh berdiri bersama kepimpinan parti.
“Alhamdulillah, saya berpeluang hadir ke program GERAK17 di Sepanggar dan Kemabong. Tahniah kepada ahli-ahli UMNO yang begitu bersemangat. Kehadiran ahli-ahli yang begitu ramai amat membanggakan, lebih-lebih lagi dengan sokongan padu kepada Presiden parti dan Ketua UMNO Sabah, malah menyuntik semangat luar biasa kepada semua jentera yang bersiap siaga menghadapi pilihan raya akan datang.”
Beliau menegaskan bahawa program seperti ini bukan sahaja medan pemantapan organisasi parti, malah sebagai platform strategik untuk memperkukuh sokongan akar umbi serta menjelaskan hala tuju UMNO dalam membela kepentingan rakyat.
“InsyaAllah, dengan sokongan dan dukungan yang ditunjukkan maka ia memberi potensi besar untuk kejayaan pada masa akan datang. Semoga usaha ini diberkati Allah SWT,” ujar Jeffery Nor kepada UMNO Online.
Beliau turut menegaskan bahawa UMNO Putatan sentiasa berpegang kepada prinsip dan perlembagaan parti, dengan mengekalkan gerak kerja yang menyantuni masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Kami menghormati segala keputusan pucuk pimpinan dan yakin bahawa setiap langkah yang diambil adalah demi kemaslahatan rakyat secara menyeluruh. Apa yang penting ialah kita tidak pernah berhenti menyantuni masyarakat iaitu dari golongan muda hingga warga emas dengan gerak kerja berterusan yang berpaksikan keikhlasan dan khidmat.
“Komitmen ahli-ahli parti dalam pelbagai peringkat amat penting malah ia adalah bukti jelas bahawa UMNO terus relevan dan dekat di hati rakyat. Ia juga menjadi pemangkin kepada kejayaan UMNO dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela dan pembangunan negeri terus dipacu dengan jayanya.
“Kita terus bekerja dan berkhidmat kepada rakyat. Fokus utama adalah pembelaan nasib masyarakat dan memastikan suara mereka sentiasa diangkat ke peringkat tertinggi,” tambah beliau.
Beliau juga menyeru seluruh ahli parti agar kekal fokus dan bekerja sebagai satu pasukan demi memastikan kejayaan UMNO dalam pilihan raya negeri dan umum akan datang.
“Jangan leka, jangan lalai. Rakyat memerhati. UMNO mesti terus melangkah ke hadapan dengan semangat baharu, pendekatan baharu, namun berakar kuat pada perjuangan asal iaitu demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya lagi. – UMNO Online