Isi Minyak Sehingga Penuh: Jalaluddin Harap Dapat Ringankan Beban Rakyat

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berharap agar Program Isi Minyak Sehingga Penuh 2025 dapat meringankan beban rakyat di sekitar parlimen tersebut.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, program yang dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jelebu dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Jelebu itu telah memanfaatkan kira-kira 250 buah motorsikal.

Terima kasih Tok. Alhamdulillah lepas dah duit minum pagi sey hari ini… – ini antara komen yang saya dapat semasa mengisi minyak motor pengunjung yang datang ke Stesen Minyak Petronas Kuala Klawang pada Ahad.

“Alhamdulillah, suka saya dengar komen sebegitu. Untuk setiap kira-kira 250 buah motor yang datang tadi, kita isi penuh tangki motor mereka. Tidak kira mereka dari mana pun, bagi saya minyak motor mereka harus terisi penuh.

“Ada yang baru nak pergi kerja. Ada yang nak ke kebun. Ada yang nak bawa anak dan isteri pergi klinik,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jelebu dan para sukarelawan.

“Jadi saya harap dengan usaha dan sumbangan kecil ini dapat ringankan beban seharian mereka. Paling tidak pun, duit untuk isi minyak motor hari ini boleh mereka guna untuk minum pagi atau buat tambahan beli barang dapur.

“Terima kasih para sukarelawan yang membantu. Tahniah pasukan Pemuda UMNO Jelebu. Tunggu next stesen minyak, kami turun isi minyak sampai penuh,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79