Sentimen ‘Sabah For Sabahan’ Hanya Untuk Menutup Kegagalan
KUALA LUMPUR, 18 Mei – Sentimen ‘Sabah For Sabahan’ hanyalah digunakan untuk menutup kegagalan pihak yang konon mahu membangunkan dan memajukan negeri tersebut, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Raja, Mohd Zaffarollah Mohd Nordin.
Ini kerana katanya, sentimen tersebut digunakan untuk menidakkan UMNO/Barisan Nasional (BN) di Sabah dan ia boleh merosakkan keharmonian.
“Seminggu dua ini ada pihak yang mengambil kesempatan mengunakan ‘Sabah For Sabahan’ untuk menidakkan UMNO/BN di Sabah. Sentimen tidak sihat ini , tidak wajar dibiarkan berterusan kerana ianya boleh merosakan keharmonian antara Semenanjung dan juga Sabah.
“UMNO/BN bukanlah parti yang mewakili semenanjung sahaja sebelum ini tetapi keseluruhanya melibatkan Sabah dan Sarawak. Memainkan sentimen ‘Sabah For Sabahan’ hanyalah bertujuan menutup kegagalan pihak yang kononnya mahu membangunkan dan memajukan Sabah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Jelasnya, UMNO/BN tidak pernah meletakkan calon luar daripada Sabah dan kesemua Ketua Menteri negeri itu adalah anak jati ‘negeri di bawah bayu’.
“Sabah for Sabahan menjadi retorik apabila ianya diungkapkan oleh ahli politik. Mereka yang memainkan slogan tersebut mungkin lupa bahawa dulunya mereka juga ahli dan pemimpin serta Menteri dari parti semenanjung ini.
“Sejak UMNO/BN bertapak di Sabah, belum pernah lagi meletakkan mereka yang lahir di Shah Alam atau Puchong sebagai calon mereka di Sabah… malah kesemua Ketua Menteri Sabah di era UMNO/BN adalah anak jati Sabah.
“Untuk rekod dan fakta, UMNO/BN inilah yang mengangkat ramai pemimpin dari Sabah menjadi Menteri di Persekutuan dan berjaya mambawa pembangunan serta kemakmuran di Sabah sebelum tahun 2018,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa kegagalan Kerajaan Negeri Sabah menguruskan infrastruktur air dan jalan sudah tidak dapat disorokkan lagi.
“Kegagalan menguruskan infrastruktur air dan jalan di Sabah tidak dapat lagi disorok. Oleh itu jalan mudahnya mereka memainkan sentimen ‘Sabah For Sabahan’ untuk mengalihkan kemarahan rakyat yang sebenarnya.
“Kepada pengundi khususnya anak muda, UMNO/BN datang bukan untuk melawan Sabah, kita kawan Sabah jangan sesekali biarkan slogan dimainkan itu menutup kebenaran yang nyata.
“Sabah berhak maju. Kita juga mahu melihat Sabah maju dan membangun semula sejak ianya terhenti seketika pada 2018. Percayalah hanya UMNO/BN mampu mengembalikan zaman itu semula,” katanya lagi. – UMNO Online