‘Sabah For Sabahan’: Adakah Orang UMNO Sabah Tidak Sayang Sabah?

SEPANGGAR, 18 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Yakub Khan menempelak pihak yang menanam kebencian rakyat Sabah terhadap UMNO dengan memainkan sentimen ‘Sabah For Sabahan’.

Tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai itu, ahli-ahli parti itu juga berasal dari Sabah serta sayang kepada negeri itu dan seharusnya rakyat jangan terpengaruh dengan hasutan serta tohmahan yang dilemparkan kepada UMNO sebagai parti Malaya.

“Ada lagi lain-lain parti yang berasal dari Semenanjung berada di Sabah. Kenapa UMNO sahaja yang menjadi sasaran? Mereka takut kerana UMNO mempunyai kekuatan pemimpin, barisan di bawah, di akar umbi yang masih sayang kepada Barisan Nasional (BN). Situasi ini menjadi igauan buruk kepada mereka.

“Kami orang UMNO dan orang Sabah. Adakah hanya kerana menjadi ahli parti UMNO, kami bukan ‘Sabahan’? Kita jangan terpengaruh dan termakan dengan hasutan-hasutan yang memporak-perandakan rakyat, yang menghancurkan negeri Sabah semata-mata untuk menutup kelemahan mereka sendiri.

“Apakah kami orang UMNO tidak sayang Sabah? Apakah kami orang UMNO tidak mencintai Sabah? Andai kata sesuatu yang berlaku untuk korbankan nyawa kami, kami sedia korbankan nyawa kami untuk negeri yang kami cintai ini,” tegasnya ketika berucap di Majlis Pelancaran Gerak17 Parlimen Sepanggar.

Majlis pelancaran yang dihadiri lebih seribu pejuang parti itu disempurnakan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini, pada petang Sabtu.

Hadir sama Pengerusi BN Sabah Datuk Bung Moktar Radin, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, barisan kepimpinan UMNO dan BN negeri.

Seterusnya, Yakub yang juga Ketua UMNO Bahagian Sepanggar turut membidas pihak tersebut sebagai tidak bertanggungjawab kerana ketika bersama BN dan pernah menjadi menteri kabinet tidak berani bersuara mengenai hak-hak negeri dan hanya membuka mulut apabila tidak lagi bersama BN.

Menyentuh mengenai kewujudan UMNO di Sabah, Yakub berkata ia adalah hasil cetusan dan kesedaran pemimpin Bumiputera/Islam negeri itu terhadap kepentingan rakyat ketika Sabah diterajui parti PBS.

“Tahun 1985/1986 titik permulaannya BN kalah yang mana ditumbangkan oleh PBS pada ketika itu. Urutan kekalahan BN dan kejayaan PBS menerajui kerajaan, lahirlah ilham pemimpin-pemimpin Bumiputera/Islam Sabah khususnya untuk pergi ke Kuala Lumpur (pusat) berjumpa dengan pemimpin-pemimpin UMNO.

“Bermulalah detik perbincangan bagaimana UMNO dibawa ke Sabah. Justeru itu, UMNO bukan datang ke Sabah dengan sendirinya… UMNO tidak datang ke Sabah untuk menjajah negeri Sabah… tetapi UMNO datang ke Sabah atas usaha pemimpin-pemimpin tempatan Sabah yang pergi ke Kuala Lumpur membawa UMNO ke Sabah.

“Ini bukan retorik, bukan cerita rekaan… ini fakta sejarah yang berlaku kepada BN dan negeri Sabah. Bermulalah UMNO bertapak dengan secara rasmi pada bulan Februari 1991 di negeri Sabah yang kini sudah berusia 34 tahun,” katanya lagi.

Pada era UMNO/BN tambahnya, kerajaan telah merangka dan berjaya membawa pembangunan dan kemajuan kepada negeri Sabah antaranya berkaitan infrastruktur, ekonomi, pendidikan, kebajikan, pertahanan dan keselamatan bahkan perjawatan anak Sabah di peringkat Persekutuan.

“Apabila melihat kejayaan demi kejayaan BN dalam mentadbir negeri, bermulalah hasad sama dari dalam mahupun luar untuk mengambil alih peranan parti.

“Bermulalah fitnah yang ditabur dan akhirnya rakyat menerima bulat-bulat fitnah semata-mata untuk menjatuhkan BN pada pilihan raya (umum) 2018 bukan sahaja di pusat malah di negeri Sabah,” katanya.

Kesan daripada itu ujarnya, bermulalah episod di mana ahli-ahli parti yang tiada jati diri mula lari bertempiaran termasuklah Ketua-ketua UMNO Bahagian seramai 22 orang dan hanya berbaki tiga orang sahaja masih kekal bersama UMNO.

Walaupun begitu, Yakub amat menyanjungi dan berterima kasih kepada akar umbi yang tetap yakin serta kekal utuh bersama UMNO sehingga mampu bangkit kembali bermula daripada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis hingga ke hari ini. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79