PRN: UMNO/BN Sabah Diingatkan Jangan Tertipu Buat Kali Kedua
TENOM, 18 Mei – UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah diingatkan agar jangan sekali lagi tertipu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 ini sebagaimana pengalaman ketika PRN Ke-16 lalu.
Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pada PRN Sabah Ke-16, empat kerusi yang diperuntukkan kepada BN telah dimanipulasi ketika itu.
“Kalau Pilihan Raya Negeri Ke-16 yang lalu kita cuma memperolehi 14 kerusi dan kita dimanipulasikan empat kerusi lagi apabila bekas rakan-rakan kita bertanding bebas.
“Pada PRN Ke-17 ini kita tidak mahu ‘ular yang sama mematuk kali kedua di tempat yang sama’. Cukup-cukuplah… jangan tipu dua kali. UMNO dan BN Sabah cukup serik dan kali ini kita mesti lebih bijaksana untuk menentukan untung nasib kita,” kata Timbalan Perdana Menteri itu ketika melancarkan Gerak17 Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Kemabong di Dewan Sri Ontoros, Kemabong di sini petang tadi.
Hadir sama Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Timbalan Pengerusi BN negeri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan beberapa Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.
Turut hadir Setiausaha UMNO negeri Datuk Jafry Ariffin, Ketua Penerangan UMNO negeri Datuk Suhaimi Nasir, Ketua UMNO Bahagian Tenom Datuk Raime Unggi dan barisan kepimpinan parti peringkat negeri serta bahagian.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata pada PRN Ke-17 nanti, UMNO dan BN mesti menang di kawasan yang ditandingi dengan syarat jentera mesti berpadu manakala pemimpin bersatu hati dan seterusnya dapat menubuhkan kerajaan negeri.
“Kita mesti bergerak dengan kuat, penyatuan di kalangan jentera mesti diwujudkan dengan lebih utuh. Jika kita ada masalah, ketepikan perbedaan dan perbalahan pendapat demi kemenangan (DUN) Kemabong, (DUN) Melalap dan Parlimen Tenom akan datang. Yang penting adalah UMNO dan BN wajib menang.
“Dalam PRN, Pilihan Raya Umum (PR) yang lalu bukan musuh politik kita kuat tetapi kerana kita lemah disebabkan perpecahan dan perbezaan pendapat dalam parti. Kita kalah kerana jentera bekerja kuat tetapi berpecah di bawah.
“Insya-Allah pada kali ini saya berazam untuk melihat UMNO/BN Sabah, jentera di bahagian-bahagian… biar musuh datang, gelombang besar melanda, UMNO/BN insya-Allah pada kali ini calon-calon kita akan menang dengan cemerlang,” katanya.
Begitu juga katanya, bagi menghadapi PRN Ke-17 ini, telah diputuskan bahawa BN akan bekerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) dan formula terbaik adalah ‘BN PH Plus Plus Plus’.
“Sebab banyak pilihan raya umum di seluruh dunia dalam kajian saya mendapati 77 negara tidak dapat membentuk kerajaan secara dominan, tidak ada parti politik secara solo menang kerusi terbanyak dan dominan serta membentuk kerajaan. 77 negara ini membentuk kerajaan berkongsi kuasa.
“Kita tidak riyak, tidak sombong, tidak ujub. Kalau itulah trend dunia, negara-negara jiran… kita tidak tamak kuasa tetapi kita yakin perkongsian kuasa untuk penyatuan, perpaduan, kestabilan politik itulah jalan terbaik yang akan kita lalukan,” ujarnya. – UMNO ONLINE