Mohamed Khaled Santuni 71 Orang Pemandu Teksi, Kereta Sewa
KUALA LUMPUR, 18 Mei – Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyantuni 71 orang pemandu teksi dan kereta sewa pada Jumaat.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Menteri Pertahanan memaklumkan bahawa pertemuan tersebut diadakan dengan tujuan untuk bertukar pandangan khususnya dalam menyediakan perkhidmatan sewa kereta dan teksi.
“Hari ini, saya berpeluang untuk bertemu ahli-ahli Persatuan Kebajikan Pemandu-Pemandu Kereta Sewa dan Teksi Daerah Kota Tinggi di Terminal Bas Kota Tinggi.
“Pertemuan ini bagi tujuan untuk bertukar pandangan mengenai cabaran, kesulitan dan kekurangan yang dihadapi khususnya dalam menyediakan perkhidmatan kereta sewa dan teksi,” katanya.
Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan bahawa para pemandu ini menghadapi cabaran langsung dan tidak langsung sepanjang mengendalikan perniagaan tersebut.
“Zaman ini telah memungkinkan mereka untuk menghadapi cabaran secara langsung (perkhidmatan e-Hailing dan teksi tidak berlesen) atau tidak langsung (perubahan dan kemajuan masyarakat yang kebanyakannya sudah memiliki kenderaan sendiri).
“Namun, ia tidak bermakna nasib mereka tidak perlu disantuni dan dibela. Untuk itu, seramai 71 orang pemandu kereta sewa dan teksi telah menerima sumbangan dan bantuan bagi meringankan cabaran yang dihadapi.
“Saya turut menyarankan supaya mereka meneroka peluang-peluang lain agar dapat menampung keperluan dan kekurangan yang dihadapi. Saya percaya, jika dapat digembleng pandangan dan buah fikiran, Insya-Allah mereka akan dapat menghadapi cabaran ini bersama-sama,” katanya lagi. – UMNO Online