KKDW Terus Komited Laksana Inisiatif Strategik, Berimpak Tinggi Di Sabah – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus komited untuk melaksanakan inisiatif strategik dan berimpak tinggi di Sabah, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ini kerana katanya, beliau hadir ke Sabah sebagai rakyat Malaysia yang berkongsi hasrat untuk melihat komuniti desa di Sabah terus kukuh dan membangun.

“Setiap kali saya menjejak kaki ke bumi Sabah – negeri yang kaya dengan budaya, teguh sejarahnya dan tinggi semangat perpaduannya… saya hadir bukan sekadar sebagai seorang pimpinan negara, tetapi sebagai rakyat Malaysia yang berkongsi hasrat untuk melihat komuniti desa terus kukuh, negerinya terus membangun, dan rakyatnya terus makmur serta berjaya.

“Justeru, KKDW terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif strategik berimpak tinggi di Sabah. Bagi tahun 2025, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.11 bilion khusus untuk pembangunan luar bandar di negeri ini.

“Peruntukan ini merangkumi pelaksanaan Projek Ameniti Sosial, pembinaan jalan luar bandar, pembinaan jambatan kecil, penyediaan bekalan elektrik dan pembangunan sistem air alternatif, semuanya bertujuan untuk meningkatkan akses, keselesaan hidup dan kemampanan komuniti pedalaman,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Mengulas lanjut, beliau telah mengumumkan peruntukan RM100,000 untuk kerja-kerja penambahbaikan di Sabah.

“Saya juga ingin melihat pemimpin akar umbi hari ini tampil lebih proaktif, berpengetahuan dan cekap dalam menyantuni rakyat. Mereka mesti berperanan sebagai pemacu perubahan yang membawa manfaat sebenar kepada komuniti setempat.

“Dalam majlis ini juga, saya telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk kerja-kerja penambahbaikan lif dan tambahan RM500,000 lagi bagi pembangunan sistem tangki air, demi menjamin keselesaan dan keselamatan penduduk di kawasan ini.

“Saya yakin bahawa dengan sokongan padu semua pihak termasuk KEMAS dan para pemimpin komuniti, desa-desa di Sabah mampu terus melonjak ke hadapan dan mencipta kejayaan yang membanggakan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79