Sistem Pendidikan Perlu Dirancang Menyeluruh, Dalam Tempoh 50 Tahun Akan Datang – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 17 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan bahawa sistem pendidikan perlu dirancang secara menyeluruh untuk tempoh 50 tahun akan datang.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya turut mencadangkan lima hala tuju utama untuk membina semula ekosistem pendidikan negara sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan pada Jumaat.
“Ketika merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2025, saya telah mencadangkan lima hala tuju utama untuk membina semula ekosistem pendidikan negara.
“Pertama, laksanakan perubahan secara inklusif dan saksama. Kedua, merombak sistem tugasan guru dengan bantuan teknologi supaya tumpuan terhadap pelajar dioptimumkan. Ketiga, jaga kebajikan semua lapisan guru termasuk guru KAFA, guru tahfiz dan guru pendidikan khas.
“Keempat, percepatkan transformasi digital supaya guru dan pelajar celik teknologi dan beretika. Kelima, sistem pengiktirafan guru perlu bermakna, bukan hanya pada Hari Guru,” katanya.
Tegasnya, guru dan murid bukanlah bahan uji kaji dalam sistem pendidikan meskipun menterinya silih berganti.
“Guru dan murid bukan bahan uji kaji dalam sistem pendidikan negara yang sering mengalami perubahan.
“Walaupun menteri silih berganti, sektor pendidikan tidak seharusnya dilihat dalam jangka masa pendek, sebaliknya perlu dirancang secara menyeluruh untuk tempoh 50 tahun akan datang.
“Matlamat sistem pendidikan negara adalah untuk melahirkan insan yang berkualiti. Justeru, pelaksanaannya perlu dilakukan secara teratur dan konsisten sehingga benar-benar mencapai tahap keberkesanan,” katanya lagi. – UMNO Online