BN Sabah Tolak Naratif Perpecahan, Nafi Dakwaan ‘Keangkuhan Persekutuan’

KOTA KINABALU, 17 Mei — Barisan Nasional (BN) Sabah menegaskan bahawa naratif perpecahan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan hanya akan merugikan rakyat, sambil menolak tuduhan wujudnya “keangkuhan Persekutuan” terhadap Sabah.

Pengarah Komunikasi BN Sabah, Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi berkata, dakwaan kononnya Sabah ditindas oleh Persekutuan, adalah satu cubaan mengalihkan perhatian daripada kegagalan pentadbiran negeri itu sendiri.

“Jika benar Persekutuan angkuh, kenapa bajet untuk Sabah terus meningkat saban tahun? Dalam Belanjawan 2025, Sabah menerima RM6.7 bilion untuk pembangunan iaitu satu peningkatan berbanding tahun sebelumnya. Ini bukti jelas bahawa Persekutuan tidak pernah menafikan hak Sabah,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Ujar Nik Mohd Nadzri yang juga Ketua UMNO Bahagian Keningau, masalah asas seperti bekalan air, jalan raya dan elektrik yang masih membelenggu rakyat Sabah berpunca daripada kegagalan pihak yang dipertanggungjawabkan dalam mengurus peruntukan yang telah disalurkan.

“Bukankah sebahagian besar peruntukan itu telah pun disalurkan terus kepada agensi dan kementerian negeri? Jadi, ke mana hilangnya hasilnya?” soal beliau.

Beliau menegaskan bahawa BN Sabah tidak menyokong sebarang retorik yang menjurus kepada sentimen pemisahan atau memperlekehkan semangat Persekutuan, sebaliknya menyeru semua pihak untuk bertanggungjawab terhadap amanah rakyat.

“Sabah tidak perlukan pemimpin yang menjual emosi, tetapi pemimpin yang menyelesaikan masalah. Rakyat sudah bijak menilai siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang hanya pandai menyalahkan pihak lain,” katanya.

Tambah beliau, kekuatan Sabah terletak pada kecekapan, integriti dan keberanian untuk bertanggungjawab, bukan pada slogan kosong seperti “Sabah for Sabahan” yang sering digunakan sebagai alasan apabila gagal menunjukkan prestasi.

“Keangkuhan Persekutuan adalah alasan orang yang gagal membuktikan kejayaan sendiri,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79