Agenda Reformasi Undang-Undang Kerajaan Madani Diiktiraf Di Peringkat Antarabangsa – Azalina
KUALA LUMPUR, 17 Mei – Agenda reformasi undang-undang dan Institusi Kerajaan Madani dilihat membuahkan hasil serta diiktiraf di peringkat antarabangsa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia telah bertemu dengan Menteri Keadilan Jepun, TYT Keisuke Suzuki dalam rangka lawatan kerja ke Jepun pada Khamis.
“Dalam lawatan kerja rasmi ke Jepun, saya berkesempatan untuk bertemu dengan rakan sejawat saya Menteri Keadilan Jepun, TYT Keisuke Suzuki di pejabat beliau di Tokyo pada hari Khamis, 15 Mei 2025.
“Di kesempatan itu, saya telah memanjangkan jemputan kepada TYT Keisuke untuk menghadiri ASEAN Law Forum 2025 yang akan berlangsung pada 19 – 21 Ogos depan sempena kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
“Dalam pertemuan tersebut, kami juga telah berbincang dan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai perkara berkaitan dengan perundangan terutama dalam hal agenda reformasi undang-undang dan institusi Kerajaan MADANI yang disifatkan oleh delegasi Jepun sebagai langkah progresif,” katanya.
Ujarnya, pertemuan tersebut turut tertumpu kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem dan perkhidmatan undang-undang.
“Perbincangan turut tertumpu kepada penggunaan AI dalam sistem dan perkhidmatan undang-undang yang mampu mempertingkat akses kepada keadilan serta aspek timbang tara sebagai mekanisme penyelesaian pertikaian alternatif (ADR).
“Saya amat berbesar hati kerana telah dijemput untuk memberikan penerangan kepada ‘Parliamentary Association on Advancing Justice Affairs Diplomacy to promote the rule of law of Japan’ mengenai agenda reformasi institusi yang sedang giat dilaksanakan Malaysia dalam satu sesi perkongsian ilmu bersama presidennya yang juga merupakan ahli parlimen merangkap mantan Menteri Keadilan Jepun, PYT Puan Yoko Kamikawa. Turut hadir dalam sesi tersebut termasuklah beberapa Ahli Parlimen Jepun serta ahli jawatankuasa Majlis Peguam Jepun.
“Ini merupakan bukti jelas bahawa agenda reformasi undang-undang dan institusi Kerajaan Madani membuahkan hasil serta diiktiraf di peringkat antarabangsa. Saya juga berharap kerjasama ini akan mempertingkat lagi hubungan erat di antara Malaysia dan Jepun ke tahap yang lebih tinggi,” katanya lagi. – UMNO Online