Titah Pemangku Sultan Johor Jadi Panduan, Semangat Perkukuh Pembangunan – MB Johor
JOHOR BAHRU, 16 Mei – Titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, yang berkenan merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 hari ini, disifatkan sebagai panduan dan suntikan semangat kepada Kerajaan Negeri Johor dalam memperkukuh hala tuju pembangunan negeri.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merafak sembah menjunjung kasih atas keberangkatan dan titah baginda di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, yang memperkukuh iltizam kerajaan negeri untuk terus memacu kemajuan dalam pelbagai sektor utama.
“Titah DYAM Tunku akan menjadi panduan dan semangat kepada Kerajaan Negeri Johor untuk terus memperkukuh sektor ekonomi, pendidikan, infrastruktur, dan kesihatan melalui dasar-dasar berimpak tinggi.
“Usaha ini akan digembleng melalui kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan, agensi berkaitan, sektor swasta, dan seluruh Bangsa Johor demi menjamin kesejahteraan menyeluruh negeri yang dicintai,” ujar beliau menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Tambahnya, sidang kali ini diharap menjadi medan muafakat untuk merangka dasar yang inklusif serta memastikan setiap suara rakyat Johor terus diangkat dalam tadbir urus negeri yang cekap, berintegriti, dan berwibawa.

Terdahulu, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail hari ini menzahirkan rasa bangga apabila Johor muncul sebagai kuasa besar baharu dalam ekonomi negara.
Baginda bertitah kejayaan itu didorong dengan pelaksanaan beberapa inisiatif utama seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang berjaya menarik pelaburan berjumlah RM27 bilion bagi suku pertama tahun ini. – UMNO Online