Tegakkan Hak Sabah, Bukan Pecahkan Rakyat Dengan Slogan Kosong – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 16 Mei – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyelar kenyataan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berhubung isu ‘Sabah for Sabahan’ yang dikaitkan dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Bung Moktar, tuduhan bahawa kenyataan Ahmad Zahid memecah belah rakyat Sabah dan memesongkan sejarah adalah tidak berasas serta berbahaya sekiranya tidak dijawab secara berhemah.

“Saya terpanggil untuk membalas kenyataan Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan yang menyentuh kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai isu ‘Sabah for Sabahan’.

“Tuduhan bahawa kenyataan Timbalan Perdana Menteri memecah belah rakyat Sabah dan memesongkan sejarah bukan sahaja tidak berasas, malah berbahaya jika dibiarkan tanpa dijawab secara berhemah,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menegaskan bahawa perjuangan menegakkan hak negeri Sabah bukanlah suatu perlumbaan tetapi tanggungjawab yang perlu digalas dengan kewarasan sejarah, kesantunan politik dan keberanian membina.

“Sebagai Ketua UMNO Sabah, saya ingin menegaskan bahawa memperjuangkan hak negeri ini bukanlah suatu perlumbaan, tetapi suatu tanggungjawab yang perlu digalas dengan kewarasan sejarah, kesantunan politik, dan keberanian membina, bukan memecah.

“Sejarah telah mengajar kita bahawa tokoh seperti Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun tidak menegakkan hak Sabah dengan meniup api perpecahan. Sebaliknya, beliau mengangkat martabat Sabah dengan membina jambatan kepercayaan antara negeri ini dan Persekutuan.

“Inilah semangat yang diwariskan kepada kita iaitu semangat yang matang, berpijak di bumi nyata, dan tidak menjadikan slogan sebagai ganti penyelesaian,” katanya.

Tambah beliau, suara Sabah di peringkat Persekutuan kini lebih dihormati melalui rundingan dan diplomasi.

“Hakikatnya, suara Sabah di peringkat Persekutuan kini lebih dihormati. Hak perjawatan, peruntukan pembangunan, dan penglibatan dalam dasar-dasar nasional kini sedang dikembalikan secara berperingkat melalui rundingan dan diplomasi, bukan demonstrasi.

“Inilah pendekatan yang UMNO Sabah dukung, kerja senyap yang menghasilkan perubahan, bukan jeritan kuat yang hilang dalam angin politik,” ujar Bung Moktar.

Beliau turut membidas Dr. Jeffrey dengan menyatakan bahawa ketika menjadi pembangkang, banyak janji ditaburkan tetapi tiada satu pun yang menjadi kenyataan.

“Ironinya, Dr. Jeffrey yang hari ini mendakwa kononnya pejuang MA63, dahulu ketika menjadi pembangkang banyak berjanji namun tiada yang menjadi. Retorik MA63 diulang setiap musim pilihan raya, tetapi selepas menang, rakyat hanya disajikan alasan.

“Jika benar perjuangan itu ikhlas, mengapa kampung-kampung yang dipimpin beliau sendiri masih ketinggalan? Mengapa janji-janji lama terus membelenggu rakyat yang kini semakin muak dengan permainan lama yang diulang semula?” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa slogan seperti “Sabah for Sabahan” tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menolak kerjasama Persekutuan.

“’Sabah for Sabahan’ boleh menjadi semangat, tetapi bila dijadikan alasan untuk menolak kerjasama Persekutuan, ia berubah menjadi dinding pemisah. Kita tidak mahu Sabah terus menjadi mangsa percaturan slogan, sedangkan rakyat masih menagih air bersih, elektrik yang stabil dan peluang pekerjaan yang mampan.

“Rakyat Sabah hari ini semakin bijak. Mereka menilai berdasarkan prestasi, bukan provokasi. Mereka mahu pembangunan, bukan perpecahan. Mereka mahu kestabilan, bukan ketegangan yang dihidangkan demi kepentingan peribadi.

“UMNO Sabah akan terus berpijak pada realiti dan berdiri teguh bersama rakyat. Kita tidak memilih waktu untuk membela mereka, kita hadir waktu mereka memerlukan, bukan hanya ketika mahu undi,” tegas beliau lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79